KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan taktik sindiket penipuan menyamar sebagai syarikat telekomunikasi dengan menawarkan peluang bil percuma selama tiga bulan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya mendapati scammer terbabit akan menghubungi orang ramai dengan menawarkan tawaran tersebut.

"Suspek mendakwa kakitangan dari syarikat telekomunikasi akan menawarkan tiada pembayaran bil bagi tempoh tiga bulan sebelum meminta mangsa menyerahkan kod enam angka yang diterima semasa panggilan berkenaan.

"Mangsa yang terpedaya akan mengalami kerugian apabila wang dalam akaun bank akan dipindahkan oleh suspek," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tambahnya, beliau menyeru orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan modus operandi penipuan terbabit.

Jelasnya, mereka yang kurang cakna kepada keadaan sebenar perlakuan jenayah seperti ini sangat mudah menjadi mangsa.

"Walaupun usaha JSJK berterusan, apa yang lebih penting adalah kesedaran individu berkenaan. Fikir sejenak sebelum membuat apa-apa keputusan atau transaksi," katanya.

Dalam pada itu, Ramli mengingatkan bahawa tiada panggilan WhatsApp dibuat oleh syarikat telekomunikasi dan panggilan pada waktu malam.

"Segera hubungi bank atau National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika ada keraguan atau menyedari telah menjadi mangsa penipuan dalam talian.

"Orang ramai juga boleh membuat semakan akaun bank dan nombor telefon yang terlibat dengan jenayah penipuan di https://semakmule.rmp.gov.my.

"Layari akaun media sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM dan Cyber Crime Alert RMP untuk maklumat terkini jenayah komersial," katanya. -Sinar Harian