KUALA LUMPUR: Konvensyen Bandar Pintar & Ekonomi Digital Selangor (SDEC) anjuran Kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) kini kembali lagi.

Bertemakan 'Revolutionising the Digital Landscape with AI, Net Zero and Biotech', Sidec yakin konvensyen edisi kelapan ini mampu mencapai potensi nilai pelaburan RM150 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Yong Kai Ping berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi padanan perniagaan dan jalinan usahasama ke arah pertumbuhan bandar pintar serta ekonomi digital.

Niaga AWANI: SDEC 2023: Revolusi landskap digital melalui AI, sifar bersih, dan bioteknologi

“SDEC 2023 memainkan peranan sebagai platform utama buat pemimpin industri e-dagang, ahli akademik, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sektor kerajaan dan swasta dari dalam serta luar negara berkumpul, berkongsi pengetahuan, membina rangkaian dan bekerjasama dalam mewujudkan ekonomi digital yang mapan dan inklusif.

“Kali ini terdapat sekitar 120 pempamer, 250 gerai, tiga persidangan utama dengan 13 topik menarik serta 65 penceramah berpengalaman.

“Melalui pelbagai sesi perbincangan, pembentangan serta pameran, pengunjung berpeluang menyelidiki mekanisme dalam membentuk rangka kerja penyelesaian bandar pintar dan ekonomi digital selain memahami teknologi inovatif yang boleh mereka adaptasi dalam perniagaan,” tegasnya.

SDEC yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 akan berlangsung selama empat hari bermula 19 hingga 22 Oktober bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Konvensyen ini turut menjadi platform ucaptama buat pemimpin terkemuka, pengasas serta pakar dalam bidang e-dagang dan inovasi kecerdasan buatan (AI).

“Mereka akan berkongsi pengetahuan berkenaan strategi terbaik membawa dua industri ini ke tahap yang lebih tinggi, memanfaatkan potensi teknologi bagi memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia serta mewujudkan ekosistem dinamik dan berdaya saing untuk masa depan,” jelas Yong.

akan berlangsung selama empat hari bermula 19 hingga 22 Oktober bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Antaranya ialah Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation, Rizal Nainy; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Bower; Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon; Ketua Pegawai Operasi MAVCAP, Noor Amy Ismail; Ketua Pegawai Operasi ZUS Coffee, Venon Tian; dan Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation, Fabian Bigar.

“AI memiliki potensi besar untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi di Malaysia dalam pelbagai cara termasuk meningkatan kecekapan operasi, inovasi produk dan perkhidmatan, serta memajukan perkhidmatan pelanggan.

“Ia sekali gus membantu mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan daya saing syarikat Malaysia dalam pasaran global,” kata Yong.

Selain AI, tambahnya, generatif AI juga mempunyai potensi besar untuk menyumbang secara signifikan kepada pencapaian objektif dan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2023.

“Kemampuannya mencipta kandungan, imej dan produk fizikal dapat membantu syarikat membangunkan penyelesaian kreatif dengan lebih cepat, memendekkan masa penyelidikan dan pembangunan, serta membolehkan pengenalan produk dengan lebih pantas ke pasaran,” katanya ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Isnin.

SDEC merupakan sebahagian daripada enam acara utama yang dianjurkan SIBS pada tahun ini.

Konvensyen itu turut menampilkan Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan), Ekspo Taman Perindustrian Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor, dan Persidangan Perniagaan Asia.

Selangor memperkenalkan SIBS pada 2016 dan tahun lalu sidang niaga tersebut mencatat nilai potensi rundingan berjumlah RM1.45 bilion.

Mereka yang berminat untuk hadir ke konvensyen ini boleh melayari www.sidec.com.my/sdec untuk dapatkan pas penyertaan sekarang.