SDEC 2025: Tamadun sekarang dibina atas elektrik, masa hadapan pula silikon - SIDEC

Konvensyen Selangor Smart City & Digital Economy (SDEC) 2025 memberi penekanan kepada hubungan rapat antara AI dan semikonduktor. - Gambar SIDEC.
KUALA LUMPUR: Konvensyen Selangor Smart City & Digital Economy (SDEC) 2025 membuka tirainya sebagai platform utama memacu pembangunan teknologi mendalam (deep tech) di Malaysia, dengan fokus kepada semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).
Program ini merupakan peralihan penting menjadikan Selangor hab digital serantau, dengan pelbagai acara bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan pakar industri, syarikat teknologi serta tenaga kerja baharu.
Bertemakan 'AI × Semiconductor: Blitzscaling Malaysia’s Deep Tech' SDEC 2025 menampilkan dua sidang kemuncak utama iaitu Semiconductor Innovation Summit dan AI Innovation Summit.
SDEC 2025 turut menjadi platform pengambilan tenaga kerja terbesar negara dalam industri semikonduktor, serta program pemecut kembar yang memberi peluang kepada syarikat baharu dan usahawan teknologi.Ketua Pegawai Eksekutif SIDEC, Yong Kai Ping berkata SDEC kali ini memberi penekanan kepada hubungan rapat antara AI dan semikonduktor.
"Kedua-dua sektor ini memang saling berkait rapat. Kalau kita lihat tamadun sekarang dibina atas elektrik, tetapi pada masa hadapan ia akan berasaskan silikon.
"Malaysia perlu tahu memilih kelebihan yang kita ada untuk dikembangkan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI dalam majlis pelancaran di sini, pada Sabtu.
Beliau turut menekankan bagaimana 'Local Economy Development' akan memberi impak kepada ekosistem pembangunan teknologi mendalam di Malaysia.
“Kita mahu sekurang-kurangnya 30 peratus komponen pusat data dan teknologi seperti air cooling system serta server system dihasilkan di Malaysia.
"Ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada luar negara, malah membuka peluang teknologi baharu untuk bertapak di sini.
"Setakat ini sudah lebih 500 peluang pekerjaan ditawarkan syarikat semikonduktor melalui Malaysia Semiconductor Recruitment Day dengan gaji lumayan,” jelas Yong.

Sambutan meriah daripada hadirin di Konvensyen Selangor Smart City & Digital Economy (SDEC) 2025 di ibu negara pada Rabu.
Daripada sudut kewangan, Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Datuk Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin berkata bank memegang peranan sebagai penghubung antara inovasi dan akses kewangan.
“Kami melihat diri kami sebagai perantara menyediakan perkhidmatan serta khidmat nasihat, literasi kewangan dan inklusiviti kewangan. Semua ini seiring dengan aspirasi kami untuk menerajui inisiatif digital,” katanya.
Selepas beberapa tahun menjadi penaja utama SDEC, Mashafuddin menyatakan perubahan positif yang jelas dalam kesedaran peserta.
“Dulu kita banyak jalankan program literasi kewangan, tetapi kini peserta yang hadir lebih matang dan berpengetahuan teknologi.
"Kami turut menawarkan produk khusus untuk usahawan seperti Aspira dan Affingem yang membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat pembiayaan sehingga RM1 juta.
"Lebih memberangsangkan apabila SDEC 2025 bukan sahaja disertai PKS, tetapi juga syarikat sederhana dan korporat besar daripada dalam dan luar negara,” katanya.
SDEC 2025 bukan sahaja menjadi jambatan antara teknologi global dengan keupayaan tempatan, malah membuka jalan bagi Malaysia membina masa hadapan ekonomi digital berasaskan inovasi dan bakat anak tempatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami