Jabatan Peguam Negara telah membuat permohonan supaya pasangan Alvin Tan, 25 dan Vivian Lee,24 -pasangan yang mempersenda umat Islam dan Ramadan melalui laman Facebook - tidak dilepaskan dengan sebarang jaminan sementara menunggu perbicaraan.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata permohonan itu dibuat memandangkan pasangan tersebut mempunyai kecenderungan untuk memuatnaikkan kandungan yang boleh membangkitkan kemarahan orang ramai.

"Sehubungan dengan ini, Jabatan Peguam Negara meminta semua pihak supaya berhenti memberi sebarang kenyataan atau membuat apa-apa spekulasi berhubung kes melibatkan pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee bagi mengelak sebarang perbicaraan melalui media," katanya dalam satu kenyataan media.

Pasangan tersebut hari ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah seksyen 4(1) (c) Akta Hasutan 1948.

Selain itu pasangan tersebut juga turut didakwa di bawah seksyen 298A kanun keseksaan kerana melakukan perbuatan yang berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan di atas alasan-alasan agama di antara orang yang menganut agama yang berlainan dan di bawah seksyen 5(2) Akta Penapisan Filem 2002 kerana perbuatan mempamerkan gambar-gambar yang didapati lucah.

Pasangan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Pasangan 'Alvivi' itu telah memuatnaik gambar dan tulisan "Selamat Berbuka Puasa (Dengan Bak Kut Teh.. wangi, enak, menyelerakan!!!) serta logo halal di Facebook.

Tindakan mereka telah menimbulkan kemarahan pelbagai pihak khususnya umat Islam di Malaysia serta disusuli oleh laporan polis dari beberapa NGO.