KUALA LUMPUR: Sebanyak 35 peratus daripada 570,000 kilometer persegi keluasan perairan negara telah dilakukan pengukuran semula hidrografi setakat ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata proses pengukuran itu dilaksanakan dengan kaedah 'multibeam echosounder', yang merupakan teknologi pengukuran terkini, selari dengan piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Hidrografi Antarabangsa (IHO).

"Ini bagi membolehkan 100 peratus liputan kedalaman di dalam pengairan negara ini kita peroleh.

"Sehubungan itu, satu sewaan platform ukuran hidrografi telah dilaksanakan pada 2018 di bawah program khusus sebagai langkah interim mempercepat kerja-kerja hidrografi negara.

"Program ini mempunyai beberapa fasa iaitu fasa pertama dilancarkan pada 2018 hingga 2021, manakala fasa kedua pada 2022 dan 2025.

"Berdasarkan pencapaian fasa pertama, kontrak ini telah diteruskan pada 2022 dengan sewaan dua platform ukur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Adly berkata kementerian bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga sedang berusaha mendapatkan bajet tambahan bagi program berkenaan untuk menampung keperluan pengukuran bagi kawasan perairan cetek berkedalaman di bawah 50 meter.

Projek hidrografi yang melibatkan peruntukan RM15 juta itu merupakan projek peruntukan khusus yang diberi kepada TLDM bagi membiayai kontrak perkhidmatan sewaan platform ukur hidrografi yang dikendali oleh Pusat Hidrografi Nasional sejak 2018.

Sementara itu, mengulas tentang kebajikan veteran ATM, beliau berkata Kementerian Pertahanan sedang memberi fokus untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan itu dalam lingkungan kementerian sama ada melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat swasta bagi peluang pekerjaan kedua.

-- BERNAMA