KUALA LUMPUR: Sebanyak 9,539 permohonan kewarganegaraan telah dipertimbangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) setakat September lalu, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri Dalam Negeri itu memberitahu, jumlah tersebut membuktikan secara jelas bahawa KDN hampir mencapai sasarannya, iaitu 10,000 menjelang tahun ini.

"Penganugerahan kewarganegaraan Malaysia kepada individu bertaraf bukan warganegara merupakan anugerah tertinggi dan hak eksklusif kerajaan Persekutuan yang tidak ditawarkan dan diberikan
dengan sewenang-wenangnya,"  katanya ketika berucap pada program KDN MADANI di sini, pada Ahad.


Menerusi program tersebut, seramai 19 individu diluluskan permohonan bagi mendapat status warganegara Malaysia.

Mengulas lanjut, Saifuddin memberitahu, kerajaan Perpaduan melalui KDN sentiasa komited untuk mempertimbang setiap permohonan kewarganegaraan secara adil dan saksama.

"Kerajaan juga telah melaksanakan pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berhubung Perkara Kewarganegaraan dan hasil cadangan pindaan akan dibawa ke Majlis Raja-Raja pada bulan ini," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan tarikh akhir permohonan Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) yang sepatutnya berakhir pada 30 September lalu dilanjutkan sehingga 31 Oktober ini.

"Kerajaan melalui KDN telah memperuntuk sebanyak RM20 juta bagi GPPK. Pemberian GPPK ini bakal memanfaatkan 2,000 Persatuan Penduduk yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dengan jumlah pemberian sebanyak RM10,000 bagi setiap pertubuhan yang layak," jelasnya.

Saifuddin menambah, sehingga September lalu, sebanyak 1,635 permohonan telah dipertimbangkan di bawah program itu.