KUANTAN: Seorang juruteknik menyedari ditipu sindiket pinjaman tidak wujud selepas membuat empat transaksi ke tiga akaun bank membabitkan jumlah sebanyak RM13,310.

Kejadian itu bermula pada Khamis apabila mangsa berusia 24 tahun berminat untuk membuat pinjaman selepas tertarik dengan satu iklan pinjaman wang menerusi Facebook.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menghubungi seorang individu dikenali sebagai CK Leong dan memberitahu mahu membuat pinjaman sebanyak RM20,000.

"Mereka mengadakan perbincangan, mangsa bersetuju dan kemudian menyerahkan maklumat lengkap seperti kad pengenalan, penyata bank, penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan penyata gaji bagi membolehkan permohonan pinjaman diproses.

"Individu itu kemudian meminta mangsa membuat beberapa transaksi ke dalam tiga akaun diberikan bagi proses pinjaman wang," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa kemudian memasukkan kesemua wang diminta dianggarkan berjumlah RM13,310 bagi tujuan kelulusan pinjaman terbabit.

Katanya, individu berkenaan bagaimanapun masih lagi meminta mangsa membuat pembayaran kononnya untuk proses kemasukan wang ke dalam akaun.

"Mangsa mula mengesyaki individu itu merupakan 'scammer' dan segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada Sabtu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian