Segala keputusan ekonomi perlu maklum balas negeri - PM

Tunku Mahkota Ismail berkenan merasmikan landasan rel berkembar itu di Stesen Kempas Baru, Johor Bahru, yang turut dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
JOHOR BAHRU: Kerajaan Persekutuan mendengar pandangan serta teguran kerajaan negeri bagi memastikan kerangka pembangunan menepati keperluan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia menandakan perubahan besar dalam cara kerajaan merangka pembangunan negara yang tidak lagi bergantung kepada andaian pimpinan Pusat semata-mata.
Beliau memberikan contoh, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri membolehkan pelan pembangunan disesuaikan dengan realiti sebenar, seperti kejayaan diraih Johor yang kini menjadi antara penyumbang terbesar ekonomi negara.
“Johor terus menunjukkan prestasi pelaburan yang memberangsangkan dengan anggaran nilai pelaburan berpotensi melepasi RM100 bilion. Keutamaan yang ditentukan di Putrajaya tidak semestinya selari dengan keutamaan Johor yang merupakan negeri lebih kuat dari segi ekonomi.
"Oleh itu, pandangan Persekutuan akan disesuaikan berdasarkan input negeri. Dalam praktik dan teori demokrasi, proses ini penting kerana tiada pihak sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan boleh membuat keputusan menyeluruh tanpa mendengar pandangan dan mencapai muafakat bersama rakyat.
"Pencapaian ini bukti hala tuju pembangunan yang tersusun di bawah Kerajaan MADANI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) di Stesen KTMB Kempas Baru, di sini, pada Khamis.
Majlis berkenaan disempurnakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Perdana Menteri turut menekankan, dalam mengejar pembangunan infrastruktur, perancangan bersepadu merangkumi pusat ekonomi, kawasan komersial, perumahan dan pelbagai kemudahan rakyat tidak boleh dipinggirkan.
Menurutnya, setiap stesen baharu akan dibangunkan secara strategik bagi mewujudkan kawasan pertumbuhan ekonomi, sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan kerjasama rapat Malaysia–Singapura melalui penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) akan terus diperkukuh bagi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi.
"Hubungan ekonomi kedua-dua negara kini berada pada tahap terbaik dan Johor bakal menerima limpahan pelaburan besar terutama dalam sektor teknologi, logistik, pembuatan pintar dan tenaga baharu.
“Pendekatan Ekonomi Madani menuntut pembangunan yang bukan hanya besar dan gah, tetapi memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat di semua peringkat,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


