KUALA LUMPUR: Polis mengesan ada segelintir badan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil peluang daripada masalah yang dihadapi mangsa penipuan bagi mengaut keuntungan, dengan memanipulasi tawaran untuk menjadi sebagai wakil mangsa berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu pejabat Polis Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata NGO berkenaan juga mengenakan caj perkhidmatan walaupun tiada sebarang jaminan mangsa akan mendapat semula wang mereka yang telah ditipu.

Bercakap dalam sidang media khas JSJK di sini hari ini, beliau berkata setiap kali ada mangsa yang ditipu, NGO berkenaan dilihat menunjukkan minat dalam aktiviti pencegahan jenayah komersil.

"Usaha yang dilakukan dalam menyebarkan informasi serta mesej pencegahan jenayah komersil adalah amat dialu-alukan, namun janganlah sampai memanipulasi mangsa.

"Berdasarkan sistem perundangan negara ini, sebarang tuntutan pampasan, tuntutan kerugian dan seumpamanya, mangsa perlu memfailkan tuntutan melalui mahkamah," katanya.

Ramli berkata prosedur tuntutan ini hanya boleh dikendalikan oleh individu profesional yang terdiri daripada pengamal undang-undang yang bertauliah.

Justeru, sebarang tawaran perkhidmatan yang berbentuk pengutip hutang oleh pihak NGO perlu dinilai dan difikirkan dengan sebaik mungkin, kerana ia tidak dilindungi di bawah undang-undang, memandangkan mangsa mendapatkan perkhidmatan daripada NGO secara sukarela selain telah menandatangani kontrak.

"Dikhuatiri caj perkhidmatan yang dibayar hanya akan mengakibatkan mangsa mengalami kerugian tambahan di samping kerugian (penipuan) yang telah dialami," katanya.

Sementara itu, dalam tempoh 15 hari tahun ini sahaja, JSJK telah membuka 1,918 kertas siasatan pelbagai kes jenayah komersial melibatkan nilai kerugian RM92,135,144.

Katanya trend peningkatan kes dan nilai kerugian yang direkodkan bagi tempoh 15 hari pertama bulan ini merupakan satu petanda bahawa JSJK perlu menggiatkan usaha mengekang jenayah berkenaan.

-- BERNAMA