Skip to main content

Malaysia

Segera aktifkan Unit Pemerkasaan Bumiputera di setiap kementerian - Sekreteriat Musyawarah Nasional

MUSYAWARAH NASIONAL_Astro AWANI
Sekreteriat itu berkata, cadangan berkenaan selaras dengan Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2025 berkaitan Penubuhan, Terma Rujukan dan Struktur UPB di kementerian.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sekretariat Musyawarah Nasional menggesa kerajaan segera mengaktifkan Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) di setiap kementerian, yang lengkap dengan struktur, pegawai bertanggungjawab serta mandat pelaksanaan yang jelas.

Dalam satu kenyataan hari ini, sekreteriat itu berkata, cadangan berkenaan selaras dengan Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2025 berkaitan Penubuhan, Terma Rujukan dan Struktur UPB di kementerian.

"Selain itu, setiap UPB juga perlu menyediakan pelan tindakan kementerian masing-masing, dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang boleh diukur berdasarkan bidang kuasa, tanggungjawab serta peluang ekonomi yang berada di bawah kementerian berkaitan.

“Status pelaksanaan pula dilaporkan secara berkala kepada pusat Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), supaya sebarang kelewatan, pertindihan atau kelemahan pelaksanaan dapat dikenal pasti dan diselesaikan dengan segera.

“Satu kad skor pencapaian mesti diwujudkan supaya keberhasilan tidak lagi diukur berdasarkan jumlah mesyuarat, program atau peruntukan semata-mata tetapi berdasarkan peningkatan sebenar penyertaan, pemilikan, pendapatan, skala perniagaan serta penguasaan bumiputera dalam sektor-sektor strategik,” katanya.

Menurut sekretariat itu, keseluruhan ekosistem yang diperlukan untuk menggerakkan agenda UPB telah tersedia, dengan PuTERA35 sendiri telah menyediakan mekanisme pemantauan melalui Jawatankuasa Kerja Majlis Ekonomi Bumiputera, Jawatankuasa PEMANDU Majlis Ekonomi Bumiputera dan Majlis Ekonomi Bumiputera.

“Kini tanggungjawab terletak pada kerajaan untuk memastikan keputusan ini diterjemahkan kepada tindakan. Pemerkasaan bumiputera mesti menjadi keutamaan nasional yang digerakkan secara tegas, dipantau secara berterusan dan dinilai berdasarkan hasil yang benar-benar dirasai,” menurut kenyataan itu.

 

Must Watch Video

Advertisement