KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa kerajaan agar mengambil pendekatan proaktif dengan segera menyerap doktor-doktor kontrak ke dalam perkhidmatan tetap.

Presiden (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berpendapat doktor-doktor kontrak juga merupakan aset yang berharga bagi sektor perubatan dan kesihatan negara.

Hujah Mohamed Shafie, Pandemik COVID-19 telah membuktikan bahawa negara sebenarnya memerlukan pengalaman doktor-doktor kontrak untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara dalam jangka panjang.

"Oleh itu, UNI-MLC mahu Kerajaan mengambil pendekatan proaktif dengan menyerap doktor-doktor kontrak ke dalam perkhidmatan dengan segera, bukannya menunggu satu atau dua tahun lalu lagi.

"Doktor-doktor kontrak juga merupakan aset yang berharga bagi sektor perubatan dan kesihatan negara. Pandemik COVID-19 telah membuktikan bahawa negara sebenarnya memerlukan pengalaman mereka untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara dalam jangka panjang.

"Doktor-doktor kontrak juga merupakan kumpulan tenaga kerja yang tersedia ada atau ‘readymade’ yang tidak perlu Kerajaan berfikir panjang apabila kita berhadapan dengan satu lagi krisis kesihatan kelak.

"Kumpulan doktor ini telah teruji ketika pandemik COVID-19 yang merupakan bencana atau krisis kesihatan global, dan sepatutnya Kerajaan menyerap mereka ke dalam sistem perkhidmatan dengan serta-merta tanpa berfikir panjang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA: Hartal Doktor Kontrak: Kronologi lantikan pegawai perubatan kontrak

BACA: Doktor kontrak: Pasukan petugas khas diharap teliti pindaan Akta Pencen

BACA: Hartal Doktor Kontrak: Beri perhatian, selesaikan tuntutan mereka - Anwar

Mohamed Shafie juga menjelaskan negara memerlukan sejumlah doktor yang ramai memandangkan penduduk Malaysia terus mengalami peningkatan dan akan terus meningkat.

Beliau menegaskan kerajaan juga perlu mengambil kira faktor kemanusiaan dan keperluan masa dengan doktor-doktor kontrak dengan tidak mengabaikan kebajikan mereka.

Tegas beliau, mereka juga merupakan manusia yang memerlukan taraf kerja dan kehidupan yang lebih baik.

"Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia sekumpulan anak muda profesional mengambil bahagian dalam tindakan mogok. Kita tidak pernah melihat keadaan seumpama itu dalam sejarah enam dekad negara.

"Oleh itu, UNI-MLC berpandangan doktor-doktor terbabit amat kecewa dengan keadaan yang mereka lalui sekarang, dengan status kerja mereka hanya bersifat sementara sedangkan mereka perlukan satu kerja yang tetap.

"Kerajaan perlu memastikan setiap individu yang bekerja dilayan dengan baik dan sama rata. Itu tugas dan tanggungjawab Kerajaan," katanya lagi.

Jelas beliau, UNI-MLC berpendapat ini bukan masa bagi Kerajaan untuk membuat perhitungan kewangan semata-mata kerana dalam ancaman kesihatan, dan menghargai peranan dan sumbangan doktor-doktor kontrak sepatutnya diutamakan, dan diserapkan sebagai doktor tetap.