KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk segera mewujudkan Mahkamah Sesyen Khas di seluruh negara bagi membicarakan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu pernah dicadangkan ketika beliau menjadi menteri, namun sehingga hari ini masih tidak dilaksanakan.

Menurut beliau, kewujudan mahkamah khas itu mampu menyelesaikan kes seksual terhadap kanak-kanak dengan lebih cepat berbanding mahkamah jenayah biasa.

"Anak-anak pergi ke jenayah seksual, bila dia pergi mahkamah jenayah biasa, masuk kes, keluar mahkamah, dah besar panjang.

"Itu sebab kita nak mahkamah khas, saksi khas dan adanya pendekatan khas. Sekarang ini dengan COVID-19, berapa banyak kes anak-anak didera di rumah? Berapa kes anak-anak menjadi mangsa jenayah, nak bawa ke mana?

"Kalau setakat nak jadi menteri, ini pun tak boleh selesai, tak payahlah jadi menteri?" soal Azalina ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Azalina menambah, isu jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak merupakan perkara besar dan  memerlukan perhatian pihak kerajaan.

Tegas Azalina lagi, anak-anak adalah masa depan sesebuah negara.

Pada 22 Jun 2017, Mahkamah Khas Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak mula beroperasi di Putrajaya dan yang pertama di negara ini dan Asia Tenggara.

Ia bertujuan mendengar dan membicarakan kes kesalahan diperuntukkan dalam Akta 792 dan kesalahan jenayah seksual bawah undang-undang lain membabitkan mangsa kanak-kanak.

Ketika itu, Azalina memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.