KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu pada Selasa bahawa empat pertuduhan salah guna kuasa untuk rasuah yang dikenakan terhadapnya bermotifkan politik dan merupakan suatu penyalahgunaan kuasa mahkamah oleh pihak tertentu.

Muhyiddin, 76, berkata, susulan pembebasan ini, beliau akan terus berusaha dan menjelaskan kepada masyarakat mengenai tindakan yang dibuat oleh pihak yang menganiayainya.

Beliau berkata, pertuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah palsu dan tidak langsung menepati undang-undang yang telah dibicarakan.

“Sebelum ini, perkara seumpama itu tidak pernah berlaku, saya dimaklumkan ini merupakan kes pertama.

“Sejak awal lagi pertuduhan berkenaan adalah bermotifkan politik sedangkan saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dari sudut undang-undang di bawah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau undang-undang jenayah lain,” katanya ketika sidang media di luar Mahkamah Tinggi di sini.

Ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu kemudiannya disambut oleh penyokongnya dengan laungan ‘referendum’ dan ‘takbir’.

Pada Selasa, mahkamah membebaskan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tersebut, selepas membenarkan permohonannya untuk membatalkan empat tuduhan salah guna kuasa untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa keempat-empat pertuduhan tersebut adalah cacat, tidak berasas dan kabur.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, keyakinannya untuk dilepaskan daripada kes mahkamah ini terbukti apabila hakim turut memutuskan perkara yang sama.

“Hujahan daripada pihak pembelaan yang mewakili saya adalah kukuh serta mempunyai asas yang kuat
maka disebabkan perkara itu, mahkamah memutuskan pertuduhan terhadap saya digugurkan.

“Terima kasih kepada isteri saya dan semua yang memberi semangat. Selepas ini kita akan terus berjuang untuk menengakkan keadilan, menentang kemungkaran serta kezaliman penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Ekoran kes tersebut, Muhyiddin menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah itu.

Pada 13 Mac lalu Muhyiddin didakwa atas pertuduhan ketujuh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, selaku Presiden Bersatu menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank, milik parti itu.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian