APABILA bulan tidak lagi muncul kala diseru sang pungguk, apabila sekebun mawar tidak lagi harum menusuk, itu tandanya cinta sudah sejuk. Atau merajuk.
Hubaya sekalian anak Adam! Siapakah antara kalian yang tidak pernah mencicip kelatnya putus kasih dalam apa skala pun? Bacalah ruangan kaunseling-luah perasaan dalam banyak sekali penerbitan di negara ini. Mereka mengharap si kaunselor menjadi penyuluh masalah peribadi yang gelap zulmat, perungkai segala kusut masai. Saya percaya kebanyakan mereka ini tidak sepenuhnya mengikut apa yang dikatakan oleh si kaunselor tadi yang nampaknya setiap minggu bersedia dengan format jawapan sopan-tersusun; tabahkan hati, ini semua dugaan hidup, terimalah ketentuan Tuhan.
Saya tidak percaya mereka yang putus cinta ini dapat menghambat masalah dengan menghantar surat kepada kaunselor tadi. Atau agaknya orang ini sudah tiada tempat mengadu lagi sehingga akhbar atau majalah menjadi terminal penyelesai masalah. Siapa tahu, the power of mediamemungkinkan segala yang mustahil? Mahu cari jodoh: Iklankan di suratkhabar. Sudah tak ada jodoh pun cari orang suratkhabar juga.
Dalam dunia selebriti, media digunakan sebagai tapak ad hominen; tempat mereka melancarkanmissile bagi memusnahkan kem ‘mantan’ pasangan mereka. Tapi awal-awal saya beritahu, saya bukan kaunselor untuk masalah ‘putus cinta-cinta tak berbalas-bagaimana memenangi hati si dia-si dia main kayu tiga’. Saya tidak pandai menjual air liur. Hands-on experienced lebih bermakna. Kalau mahu sedikit kata-kata semangat bolehlah saya tiupkan. Yang selebihnya mungkin panduan daripada sekian banyak opera sabun yang pernah saya tonton (dibaca: temberang).
Betapa hodohnya wajah pasca cinta anda? Lihat betapa cantiknya cinta itu terlebih dahulu (ia seperti satu transisi dalam extreme makeover; lebih hodoh wajah anda, lebih mudah untuk anda kelihatan cantik selepas itu dan begitulah sebaliknya. Orang yang biasa kelihatan jelita akan mudah kelihatan hodoh walau sedikit cela). Lihatlah berapa besar skala percintaan anda. Pada pandangan saya, anak-anak muda lela yang meluah rasa kepada abang atau kakak kaunselor di suratkhabar kerana cinta tidak kesampaian hanya membuang masa dan dakwat printer (alamak, ada paku serpih di batang hidung saya…).
Mudahnya Jumpa ‘Monyet Baru’
Kenanglah kembali alam monyet-monyetan dahulu; betapa mudahnya kita crush, betapa mudahnya declare (betul kata Fezin; kad raya adalah enzim pemangkin cinta paling top), betapa cepatnya kita menjadi kabel (setiap kali buah hati anda telefon, anda akan meloncat-loncat telefon kawan baik anda selepas itu. Ini fakta!), betapa mudahnya cemburu, betapa mudahnya putus, betapa mudahnya ‘mantan’ anda diburuk-burukkan dan akhirnya betapa mudah berjumpa monyet baru.
Saya adalah generasi yang melalui alam monyet ketika telefon tangan masih sebesar cota pengawal sekuriti, tanpa sms atau video mail. Paling hebat ialah ketahanan menunggu kuntum rindu yang dizahirkan dalam bentuk surat long-hand. Mungkin ini rahsia orang dulu-dulu lebih sejati dan lebih teruji cinta mereka (wah, tuanya makcik ni!). Tapi saya lihat monyet-monyet era 3G kini tidak cukup dengan sms 5 minit sekali, masuk pula video mail, sembang maya, telefon pun berjam-jam, dating pun tiap-tiap hari. Mereka tidak merasa manisnya rindu itu kerana tidak sempat hendak merindu pun.
Bila sudah meniti aspal dewasa, lain pula corak dan nadanya. No more monkey business, cari titik tumpu sekarang. Semasa menjadi monyet dahulu, kita tahu bergayut berjuntai sahaja dari dahan ke dahan. Kini kaki lebih menginjak bumi, barulah terasa ada duri dan kerikil menikam, barulah nampak sulur akar berselirat mengelirukan jalan. Barulah tersedar ada harimau bermata api siap hendak menerkam, barulah terdengar desis ular dengan bisa mencengkam. Dan jika jalan percintaan anda tidak seperti hutan belantara, mungkin anda ternampak ia seperti hospital. Dalam satu perhubungan, ada penyakit, ada pesakit dan ada yang merawat. Mungkin ia hanya kes pesakit luar, untunglah. Tapi bagaimana kalau ia jatuh kategori ICU?
Apa Tujuan Asal Perhubungan?
Apa cara anda menghadapi satu hubungan yang penuh penyakit sedang anda leka mendiagnosis simptom-simptom yang ada? Anda harus renung kembali, apa asal muaranya hubungan ini? Mengikut gejolak hormon, mengikut pusaran semasa (takut dikata anak dara atau teruna tua) atau memang ini cinta sejati? Anda rasa pasangan andalah orangnya, yang menceriakan hari anda, yang menerima segala hodoh dan bodoh anda dan dia akan terus menerima anda walaupun anda tidak pandai memasak, sehinggalah cangkul dan tanah memisahkan? Atau anda terpengaruh dengan kata-kata Brian Crane dalam komiknya, Pickles bahawa mereka yang tidak berpasangan umurnya pendek 10 tahun berbanding dengan yang punya hubungan ampuh?
Cinta bukan elixir of youth sebenarnya. Bukan juga algojo memenggal kepala mangsa. Andalah yang harus mencipta elixir of youth itu dan anda juga ‘tercipta’ untuk menjadi algojo; bila keadaan mendesak.
You’re mad if you’re madly in love. Anda perlu ‘waras’ sedikit walau sedang mabuk khayali supaya anda boleh singgah di tempat check point, merenung diri danmemeriksa apakah ‘jaket keselamatan’ yang anda sarungkan sudah kuat terikat dan cukupanginnya. Memanglah cinta ituunconditional tapi sebelah mata anda harus juga dibuka dan pandanglah sisi lain. Kejamkah saya meminta anda bersikap objektif dalam soal asmaradana ini? Tidak, kerana saya tidak mahu anda jadi Kassim Selamat menangis bukan sahaja sampai bengkak mata tetapi sampai tak ada mata.
Tetapi skala patah hati itu berbeza bukan daripada anak Adam ke anak Adam yang lain. Ada yang boleh menghadapinya dengan hati seutuh waja dan merasionalkan segalanya; bahawa tiada yang bersalah dalam hubungan ini. It’s just not working well. Hidupnya diteruskan malah mungkin hubungan pasca cinta dengan mantan kekasihnya itu lebih baik sekarang. Kerana tiada lagi panah Cupid yang menikam, tiada lagi tali cinta yang menambat, segalanya jadi lebih selesa. Tiada lagi virus cemburu yang meracun jiwa kerana masing-masing sudah lebih terbuka kini malah ada yang keluar bersama lebih kerap sebagai mantan pasangan berbanding kala berkencan dahulu. Sistem kepercayaan juga mungkin lebih baik kerana tiada lagi yang jadi CCTV mengawal gerak geri. Tahniahlah jika anda berada dalam senario begini.
Setia Macam Khadam
Tetapi tak bergunalah adanya ruangan kaunseling-terapi hubungan kalau segalanya bak syurga, atau paling kurang surreal bak opera sabun. Paling banyak tentulah kes menghadapi pasca cinta yang jelek. Dua penyakit yang paling bahaya dalam perhubungan ialah penyakit batu karang dan latah kronik. Penyakit ini terjadi jika hanya salah seorang daripada anda yang berusaha gigih (atau terhegeh-hegeh) mempertahankan hubungan.
Anda tidak boleh mengasihi si dia lebih daripada si dia mengasihi anda dan vice versa, demi perhubungan yang sihat. Anda sahajalah yang setia; bak khadam menjunjung segala perintah. Andalah yang sibuk menelefon, mengatur janji temu, membelikannya hadiah walau mungkin memakan belanja sewa rumah anda dan anda sahajalah yang menunjukkan segala affection. Parahnya, ini sudah sampai tahap obsesif.
Tapi lebih parah kalau anda terus pasif; tidak mempunyai pendapat sendiri dalam perhubungan. Anda mengangguk pada tiap katanya. Anda mengubah tabiat (atau buang tabiat)---Kelaziman harian semata-mata untuk menyelitkan diri di dalam hidupnya. Anda wajarkan segala tindak-tanduknya walaupun ada yang tidak wajar. Dia sudah lama tidak telefon atau duduk makan bersama, anda wajarkan, “Oh, dia sibuk dengan kerja atau buat tesis tahun akhir.” Dia tidak lagi menyebut nama anda di hadapan para rafiknya dengan senyum simpul atau kalau perlu sebut pun, seperti dipaksa meneguk cuka, anda wajarkan “Biasalah, dia nak low-profile!’’ Jika keadaan ini berterusan lebih dari sebulan dan anda masih tidak dapat lagi membaca simptom-simptomnya, andalah yang harus meneguk cuka.
Inilah yang saya katakan penyakit batu karang. Jika anda berjaya mengeluarkan batu itu dan berasa lebih lega kemudiannya, ucapkan tahniah untuk diri sendiri. Anda ‘meletak jawatan’ sebagai khadam dan dia pun senang hati mengeluarkan ‘surat pelepasan’ kerana rupa-rupanya ada khadam baru sedang menanti. Mungkin ‘khadam-khadam’ baru. Tetapi side effect daripada ‘pembedahan’ batu karang itu lazimnya tidak seindah mana. Katakan anda berjaya membedah diri sendiri dan mengatakan adios kepada si dia secara tiba-tiba, dan dia tersedak seperti tertelan cuka yang disangkanya jus tongkat ali, anda perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Dia berpenyakit latah kronik; selama ini menyangka khadamnya setia menjunjung titah. Mungkin parah lagi situasinya jika anda menyanggah titah pada waktu yang salah sama sekali walaupun anda sebenarnya sudah tidak tahan lagi menanggung azab hubungan.
Betulkah Si Dia Serius?
Latah kronik ini akan melalui fasa-fasa ‘rujuk’ yang akan menambah kusut hubungan anda. Si dia yang ralit akan mengqadha balik apa yang tidak dibuatnya sebelum ini. Bulan bintang kembali menyulam bicara dan nama anda kembali masuk carta ‘baik banget’ di hadapan para rafiknya serta menelefon anda selang lima minit. Topik ‘komitmen jangka panjang’ yang taboo sebelum ini kembali dicuitnya sedangkan anda sudah rimas. Benar-benarkah dia serius atau sekadar mahu menjaga gengsi–Pride? Hal-hal pride ini akan lebih terserlah kalau ketika saat anda keluar dari ‘hospital cinta’ itu, anda ketemu dengan ‘doktor’ baru.
Maka akan berdentumlah umpat bahawa si doktor ini adalah orang ketiga dan perbandingan akan dibuat dari segenap aspek; dari gaya pakaiannya, panjang misainya, apa kereta yang dibawanya, restoran mana yang sering dia kunjungi bersama anda dan tidak mustahil, akaun banknya. Mulalah dia menyoal, apa kurangnya dia di mata anda (‘’oh, banyak kurang!’’), lebih romantikkah si doktor (“Oh, lebih daripada Richard Gere!’’) dan banyak lagi soalan aritmetik kurang-lebih ini hingga sampai ke kawasan-kawasan yang anda pun tak larat nak dengar. Soalnya, adakah dengan membuat perbandingan aritmetik ini, keseimbangan dapat dicapai dan hubungan akan pulih? Katakan anda buat jadual semak untuk beberapa aspek; bandingkan markah kedua-duanya. Si A dapat markah penuh untuk akaun bank dan gayanya pun macam pengurus bank tapi hampir zero untuk affection. Si B unpredictable dan lebih wild tapi anda bebas jadi diri sendiri bila bersamanya.
Buatlah senarai dan perbandingan ini berdepa-depa panjangnya. Berapa markah pun yang diperolehi, akhirnya yang akan senyum sampai ke telinga atau menangis sampai bengkak mata ialah anda sendiri. Dan katakan pula ‘fasa rujuk’ tadi tidak berkesan dengan cara memujuk, si dia mengerahkan pula para rafiknya turun padang untuk menjaja cerita-cerita busuk tentang doktor baru. Lebih malang lagi kalau ahli keluarga anda diheret sama; kononnya minta mereka tarbiah anda yang sudah ‘terpesong’. Sedangkan selama dalam perhubungan penuh penyakit itulah anda terpesong dan sedang anda menemui semburat sinar di hujung jalan keluar, si dia meletakkan papan-papan tanda yang tidak lagi anda perlukan. Atau seperti yang saya tulis awal-awal tadi, si dia menggunakan surat khabar untuk menyambung cinta. Sedangkan penyelesaian yang dicadangkan si kaunselor mungkin tidak praktikal langsung bagi kes anda.
Apakah Perpisahan Jalan Terbaik?
Bukan mudah mengharung hari-hari pertama sebagai mantan kekasih, apatah lagi jika hari-hari itu sangat rusuh dan hodoh. Ada orang kata yang memutuskan---Melafaz cerai tidak terasa beban atau pedihnya perpisahan berbanding dengan yang menerima surat ‘cerai’. Bebannya pasti sama berat, apatah lagi ia satu keputusan yang sukar. Tapi ada juga yang senang hati melafaz cerai (atau meminta cerai) kerana merasa itu jalan terbaik. Tapi akibatnya kepalang tanggung. Mungkin anda akan lalui fasa-fasa rujuk yang melelahkan. Paling hodoh jika mantan anda menggunakan taktik kotor; anda diskandalkan dengan cerita rekaan sendiri. Segala yang tidak buruk diburukkan malah paling teruk sampai melibatkan pihak berkuasa. Dia mahukan anda kembali tetapi dengan cara mengugut. Kalau anda menerimanya kembali, maknanya penyakit anda lebih kritikal daripadanya! Malanglah sesiapa yang berada dalam senario ini. Anda sampai kiamat pun tidak mungkin boleh bertentang mata dengan mantan anda.
Jadi di mana cantiknya wajah pasca-cinta kalau sudah hodoh? Feel the ugliness but don’t let it stay. Andalah yang menentukan plot opera hidup anda sendiri. Mungkin ia lebih dramatik daripada sekian banyak opera sabun yang berbuih-buih ada di tv.
Tetapi terlalu banyak buih sabun tidak bagus untuk kesihatan.
Teks: RAIHANI MOHD. SAAID