Wei Chong-Kai Wun kempunan pertahan kejuaraan Masters Indonesia

Man Wei Chong (kiri) dan Kai Wun Tee (kanan) terpaksa akur ditundukkan gandingan tuan rumah Moh Reza Pahlevi Isfahani-Sabar Karyaman Gutama. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Hasrat beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk mempertahankan kejuaraan Masters Indonesia tidak kesampaian apabila terpaksa akur ditundukkan gandingan tuan rumah Moh Reza Pahlevi Isfahani-Sabar Karyaman Gutama semalam.
Ringkasan AI
- Pasangan lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, tewas kepada tuan rumah Moh Reza Pahlevi Isfahani-Sabar Karyaman Gutama dalam kejohanan Masters Indonesia.
- Pasangan lelaki lain, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, mara ke separuh akhir selepas menewaskan wakil Korea Selatan dalam perlawanan suku akhir.
- Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah, turut menepati separuh akhir selepas menewaskan gandingan Korea Selatan; menanti aksi dengan pasangan Taiwan atau tuan rumah.
Sementara itu, beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani tidak berdepan masalah menempah slot ke separuh akhir selepas menewaskan wakil Korea Selatan, Song Hyun Cho-Lee Jing Min 21-17, 21-13 dalam tempoh 34 minit pada aksi suku akhir.
Sze Fei-Nur Izzuddin dijadual bertemu pemenang perlawanan antara gandingan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dengan kombinasi Korea Selatan-Malaysia, Choi Sol Gyu-Goh V Shem bagi perebutan tiket ke final hari ini.
Dalam pada itu, beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah turut menepati ramalan mara ke separuh akhir selepas mudah menewaskan gandingan Korea Selatan, Kim Yu Jung-Lee Yu Lim 21-15, 21-9 dalam tempoh 29 minit.
Menanti beregu nombor dua dunia itu adalah gandingan nombor 16 dunia dari Taiwan, Hsu Ya Ching-Sung Yu Hsuan atau wakil tuan rumah, Lanny Tria Mayasari-Apriyani Rahayu pada aksi separuh akhir.
Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut mengesahkan slot separuh akhir selepas gandingan ranking keempat dunia itu menyingkirkan pasangan Singapura-Indonesia, Terry Hee-Gloria Emanuelle Widjaja 21-16, 21-19.
Bagaimanapun, Tang Jie-Ee Wei dijadual berdepan cabaran sukar untuk ke final apabila akan bertemu pasangan nombor dua dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin pada aksi separuh akhir hari ini.
Dalam kategori perseorangan wanita, pemain negara K. Letshanaa berjaya menundukkan pilihan keenam kejohanan dari Taiwan, Huang Yu-Hsun 21-17, 21-18 dan dijadual bertemu pemain Thailand, Pitchamon Opatniputh di separuh akhir.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


