IWK perkenal CSR "Sahabat Istimewa IWK" untuk komuniti OKU

Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd memperkenalkan inisiatif CSR baharu iaitu "Sahabat Istimewa IWK" sebagai usaha memperkukuh sokongan terhadap komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd pada Jumaat memperkenalkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) baharu iaitu "Sahabat Istimewa IWK" sebagai usaha memperkukuh sokongan terhadap komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, M. Narendran berkata, inisiatif itu menumpukan kepada pembangunan kemahiran, peningkatan keyakinan diri dan persediaan peserta untuk menyertai dunia pekerjaan, sekali gus membolehkan mereka menjalani kehidupan secara berdikari, bermakna dan memuaskan.
Katanya, pemerkasaan CSR tersebut dilaksanakan bukan sekadar bersifat kebajikan semata-mata, malah membina keupayaan dan membuka peluang kepada peserta.
"IWK ingin melihat mereka bukan hanya sebagai penerima bantuan, tetapi sebagai sahabat yang mampu menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara," katanya ketika berucap di Teater Amal IWK "Najis Jadi Teman" di IWK Eco Park.
Narendan berkata, sebagai langkah awal usaha inklusiviti dan kepelbagaian itu, IWK akan bekerjasama dengan Pertubuhan Kebangsaan Bahasa Isyarat dan Pengajian Pekak Malaysia (MyBIM) dan Persatuan OKU Sentral bagi memastikan setiap program yang dilaksanakan berasaskan keperluan sebenar komuniti serta memberi impak bermakna dan lestari.
"Kami percaya setiap individu, tanpa mengira keupayaan fizikal atau intelektual, mempunyai potensi, bakat dan kekuatan tersendiri yang wajar diberi ruang serta peluang untuk berkembang.
"Melalui Sahabat Istimewa IWK, kami berhasrat menyokong dan membina kemahiran penting serta memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi dunia pekerjaan, seterusnya membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih berdikari," katanya.
Pelancaran program itu dipersembahkan melalui pementasan teater amal bertajuk 'Najis Jadi Teman' yang menampilkan kerja di belakang tabir IWK serta wakil komuniti pekak.
Persembahan itu turut disertai penyanyi terkenal MimiFly dan Atilia Haron, selain pelakon teater, Alfred Loh dan Phraveen Arikiah.
Lebih menarik, kanak-kanak daripada Yayasan Chow Kit (YCK) turut mengambil bahagian dalam persembahan tersebut.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


