Dianggarkan sebanyak satu juta pengguna di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air bermula 17 sehingga 22 Disember.

Notis ini dikeluarkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) berikutan Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) selaku pengendali Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dilaporkan terpaksa menghentikan sementara operasi loji itu bagi melakukan kerja-kerja menaik taraf, pembaikan dan penukaran aset-aset utama di loji tersebut.

Menurut Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred kerja-kerja yang dimaksudkan ialah menaiktaraf papan suis bagi 33kV dan 6.6kV Alatubah ('Transformer') No.1 di Muka Sauk ('Intake'), pembaikan paip keluli ('mild steel') bersaiz 1400mm untuk paip 'Flow Splitter Stream C' dan penggantian ‘Sluice Valve’ bersaiz 950mm di Rumah Pam Air Bersih (TWPH) iaitu pengepaman air bersih ke Kolam Imbangan Matang Pagar.

“Kerja naktaraf ini bagi meningkatkan keupayaan tunggu sedia dan memastikan Pam Air Mentah di Muka Sauk dapat beroperasi dengan lancer” jelasnya.

Menurut Priscilla, kerja-kerja hentitugas akan bermula pada jam 8.00 pagi sehingga 9.00 malam pada 17 Disember dan tempoh pemulihan dijangka bermula pada jam 9.00 malam hari yang sama berterusan sehingga 8.00 pagi, 22 Disember .

Antara kawasan yang terjejas termasuk kawasan-kawasan penting seperti Kelab Diraja Selangor, Pusat Sains Negara, INTAN, Kompleks Kerajaan Jalan Duta, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Suria KLCC dan kawasan lain-lain.

Syabas menasihati pengguna agar menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakannnya dengan berhemah sepanjang tempoh henti tugas LRA SSP2.

Orang ramai yang mahukan keterangan lanjut mengenai kawasan yang terjejas boleh melayari portal Syabas atau hubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) di talian bebas tol 1-800-88-5252.