KUALA LUMPUR:
Sekatan akses media sosial kepada remaja berusia 16 tahun ke bawah lebih menjamin keselamatan dan keberkesanan dasar.
Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mohamad Fauzan Noordin berkata, sebarang sekatan digital boleh ditembusi oleh pihak asing yang seterusnya mendedahkan anak-anak kepada bahaya yang cuba dihalang.
"Kalau kita sekat satu pautan. Esok akan ada pautan baharu. Jika kita sekat satu aplikasi, nanti akan ada aplikasi yang lain.
“Kita sekat suatu saluran, akan ada saluran lain. Kita letak tembok sekatan (firewall) apa pun akan ada orang yang boleh tembus.
“Oleh itu, yang mudah ialah kita letak sekatan pukal terhadap semua individu berusia 16 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Dalam pada itu, Ketua Ekonomi Wawasanex, Adli Amirullah berkata, masih ada ruang untuk membincangkan had umur bagi pelaksanaan sekatan akses media sosial ini.
“Kesatuan Eropah (EU) tidak letak had umur 16 tahun secara pukal. Mereka tetapkan usia matang digital pada 16 tahun, tetapi negara-negara terpilih boleh turunkan had usia itu kepada 13 tahun. Ada kerangka-kerangka yang telah dilaksanakan di negara-negara maju yang boleh dipelajari Malaysia.
“Bagi saya, akan ada pengguna-pengguna jahat yang buat pautan dan platform baharu. Saya bimbang jika kita halang remaja daripada akses kepada platform media sosial yang terkawal, mereka akan akses platform-platform yang lebih berbahaya,” ujarnya.
Pada November lalu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan keselamatan kanak-kanak di ruang digital dengan larangan pembukaan akaun media sosial kepada individu bawah 16 tahun mulai tahun ini.
Menurutnya, langkah tersebut adalah berasaskan keputusan Kabinet bagi mengekang aktiviti jenayah siber rentas umur serta melindungi kanak-kanak daripada risiko pemangsa seksual.
Tambah Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, kerajaan menjangkakan semua platform media sosial dapat mematuhi ketetapan baharu itu dalam tempoh yang ditetapkan selaras usaha memperkukuh keselamatan digital negara.