KUALA LUMPUR: Pengarah Pilihan Raya Pas, Muhammad Sanusi Md Nor pada Sabtu mendakwa kestabilan politik hanya boleh dicapai sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) disekat kemaraannya untuk kembali memerintah.

Jelasnya, mana-mana negeri yang diadakan pilihan raya dilihat disebabkan UMNO mempunyai kerusi yang lebih sehingga membawa kepada perkara itu.

"Formulanya UMNO tiada, kita boleh ada kestabilan. Mana-mana negeri yang UMNO mempunyai kerusi lebih sikit mesti PRN.

"Macam di Melaka, orang dia sendiri jatuhkan Ketua Menteri. Johor pun begitu kerana kerusi mereka lebih," jelasnya memetik laporan Sinar Harian.

Tambah Sanusi, negeri yang mana UMNO mempunyai kerusi DUN sedikit seperti di Kedah melihatkan tiada masalah tercetus sehingga membawa kepada pilihan raya diadakan.

"Kita tengok negeri lain bila mereka (UMNO) kerusi sikit, sikapnya lain. Seperti di Kedah kita tidak mengalami masalah, jadi syarat dia senang, kerusi dia (UMNO) sikit.

"Jadi penting kita tentukan BN jangan menang banyak," katanya lagi.


UMNO cetus perbalahan dakwa Sanusi

Mengulas lanjut, dakwa Sanusi, BN khususnya UMNO dilihat terus menjadi pihak yang menikam belakang sekaligus menyukarkan kata sepakat dicapai dengan Pas.

"Dia macam kita duduk satu rumah, makan satu meja masak satu lauk, tetapi dia tikam belakang kita, inilah lah perangai BN.

"Kita kalau nak hidup aman, lidah dengan hati mesti sama. Mereka (UMNO) sudah menerima macam-macam tetapi tetap tamak kerana mereka kalau boleh mahu semua.

"Tengok apa yang mereka tidak dapat, jika bukan jawatan menteri mesti pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," dakwa Sanusi lagi.


Penyebab ketidakstabilan politik bukan UMNO

Sementara itu Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan ketika mengulas kenyataan Sanusi itu berkata parti lain yang menyebabkan ketidakstabilan politik berlaku.

Jelas Shahril, beberapa insiden yang menyebabkan ketidakstabilan politik berlaku bukan disebabkan UMNO tetapi parti tertentu.

"Yang bergaduh sesama sendiri sehingga menjatuhkan Kerajaan sendiri setelah 22 bulan bukan UMNO. Yang mengubah Menteri Besar sendiri dalam tempoh kurang setahun, bukan UMNO.

"Yang kerap mengubah Pengerusi parti negeri, bukan UMNO. Yang tunda dan batal projek yang sepatutnya menguntungkan orang Johor semata-mata tidak mahu apa-apa legasi pra-PRU14, bukan UMNO.

"Yang ugut tekan butang sehingga memaksa PRN Johor bukan Umno. Yang memancing orang melompat sehingga memaksa PRN Melaka bukan Umno. Yang melemahkan Muafakat Nasional dengan bersama mendaftar pakatan lain sewaktu MN sedang kukuh, bukan UMNO," jelasnya.

Malah tambah Shahril, UMNO sinonim dengan kestabilan politik. Malah ujarnya rakyat sedar kemampuan parti itu dalam tadbir urus berbanding parti lain.

"Kestabilan politik itu sudah sinonim dengan UMNO.

"Parti lain yang bersaing bolehlah cuba promosikan naratif lain. Kerana rakyat semakin sedar bahawa apa pun kekurangan parti UMNO, kestabilan dan kemampuan tadbir urus bukan dalam kalangan kekurangan itu," jelasnya.