Sekatan terhadap aplikasi Grok di X ditarik balik - MCMC

Pihak X mengesahkan bahawa langkah keselamatan yang diperlukan telah dilaksanakan terhadap aplikasi Grok. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menarik balik sekatan akses sementara ke atas aplikasi Grok di platform X berkuat kuasa hari ini, susulan pengesahan pelaksanaan langkah pencegahan dan keselamatan tambahan oleh platform berkenaan.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat pada Rabu lepas melibatkan Kementerian Komunikasi, MCMC serta wakil platform X bagi mendapatkan penjelasan dan komitmen berhubung langkah pencegahan serta pematuhan undang-undang Malaysia.
"Pihak X mengesahkan bahawa langkah keselamatan yang diperlukan telah dilaksanakan terhadap aplikasi Grok," menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan setelah mengambil kira penjelasan dan pengesahan awal yang dikemukakan, suruhanjaya berkenaan telah menarik balik sekatan akses sementara dikenakan terhadap aplikasi Grok tertakluk kepada pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa.
MCMC menegaskan keselamatan pengguna kekal sebagai keutamaan dan sebarang kegagalan pematuhan atau pelanggaran undang-undang Malaysia akan ditangani secara tegas.
Pada 11 Jan lepas, MCMC mengarahkan sekatan sementara terhadap akses kepada AI Grok bagi pengguna di Malaysia susulan penyalahgunaan Grok berulang kali untuk menjana kandungan lucah dan seksual eksplisit.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


