KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memberi tempoh dua bulan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menjawab dan melaksanakan empat syor yang telah diberikan berhubung isu sekolah daif, sebelum dipanggil semula untuk prosiding tindakan susulan.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata empat syor yang perlu dilaksanakan KPM adalah melancarkan Program Sifar Bangunan Sekolah Daif seluruh negara untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif bagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Selain itu, KPM perlu meningkatkan perancangan dan pelaksanaan program penyenggaraan sekolah-sekolah bagi mengurangkan kebarangkalian sekolah-sekolah berkenaan dikategorikan sekolah daif.

"KPM juga perlu memantapkan kaedah pengurusan projek melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian secara berterusan bagi memastikan semua projek yang dirancang siap mengikut jadual.

"Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Semula Bangunan Daif Di Sekolah yang dipengerusikan oleh KPM perlu diperkasakan supaya lebih efektif bagi menangani isu-isu sekolah daif," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

PAC hari ini membentangkan laporannya berhubung Pengurusan Naik Taraf dan Pembangunan Semula Bangunan Daif di Sekolah di bawah KPM, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, JKR Sarawak dan JKR Sabah selepas memanggil beberapa saksi pada 17 Jan lepas.

Saksi berkenaan adalah Ketua Setiausaha KPM Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Badioezaman Ab Khalik, Timbalan Pengarah Infrastruktur JKR Sarawak Dr Cassidy Anak Morris dan Ketua Penolong Pengarah JKR Sabah Petrocelli Joseph.

Mas Ermieyati berkata PAC turut mengadakan lawatan kerja ke empat sekolah di Sarawak iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Supok dan SK Nanga Grenjang di Saratok serta SK Serabang dan SK Paku Central di Betong, pada 5 Feb lepas.

Beliau berkata PAC mendapati terdapat bangunan yang telah lama dikenal pasti dan disyor tidak sesuai untuk digunakan oleh pihak JKR namun masih tidak diambil tindakan penambahbaikan.

"Sebagai contoh, ada bangunan yang telah 12 tahun mendapat syor untuk dibaik pulih tetapi tiada tindakan diambil. PAC dimaklumkan hal ini terjadi kerana kekangan kewangan yang menyebabkan KPM terpaksa memilih sekolah-sekolah yang perlu diutamakan berdasarkan keadaan atau kerosakan yang lebih kritikal," katanya.