Skip to main content

Malaysia

'Sekolah sepatutnya tempat selamat' - Onn Hafiz sayu ziarah keluarga arwah Irene Sofiya

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi meluahkan rasa pilu ketika menziarahi keluarga Allahyarham Irene Sofiya serta memberi jaminan komitmen memperkukuh keselamatan sekolah. - Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi meluahkan rasa pilu ketika menziarahi keluarga Allahyarham Irene Sofiya serta memberi jaminan komitmen memperkukuh keselamatan sekolah. - Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi

Advertisement

BATU PAHAT: Pemergian tragis pelajar Tingkatan Empat di Yong Peng beberapa hari lalu bukan sahaja meninggalkan luka mendalam buat keluarga mangsa, malah turut menyentuh naluri keibubapaan kepimpinan tertinggi negeri Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meluahkan rasa sayu sejurus berkesempatan menziarahi keluarga Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, termasuk bapa, datuk serta neneknya hari ini.

Menurut Onn Hafiz, tiada kata-kata yang mampu menggambarkan keperitan dan kesedihan yang sedang ditanggung oleh seluruh ahli keluarga berkenaan tatkala kehilangan anak tersayang pada usia yang begitu muda.

"Sebagai seorang bapa, saya turut tersentuh dengan apa yang berlaku. Sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak kita menuntut ilmu, membesar dan mengejar cita-cita.

"Kejadian seperti ini sudah tentu memberi kesan bukan sahaja kepada keluarga Allahyarhamah tetapi juga kepada warga sekolah dan masyarakat keseluruhannya," katanya menerusi hantaran di laman media sosial beliau pada Isnin

Mengulas mengenai perkembangan kes, Onn Hafiz menegaskan Kerajaan Negeri Johor mengambil pendirian untuk tidak mendahului proses undang-undang dan memberikan ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa menyempurnakan siasatan secara menyeluruh.

Namun, beliau memberi jaminan kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan semua agensi dan kementerian berkaitan bagi memperkukuh kawalan keselamatan pelajar.

"Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkaitan untuk melihat apa lagi yang boleh diperbaiki dan diperkukuhkan, khususnya dalam aspek keselamatan serta kesejahteraan anak-anak kita di sekolah," jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau merayu kepada orang ramai serta pengguna media sosial agar menghormati perasaan waris yang sedang berduka dengan tidak mencetuskan sebarang andaian liar.

"Saya juga menyeru semua pihak supaya menjaga sensitiviti keluarga dan mengelakkan sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat yang belum disahkan.

"Di sebalik setiap berita yang kita baca dan kongsi, ada sebuah keluarga yang sedang melalui saat yang amat sukar," luah beliau sambil menzahirkan salam takziah dan mendoakan ketabahan buat seluruh keluarga Allahyarham.

 

Must Watch Video

Advertisement