KUALA LUMPUR: Dua pertubuhan memohon kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan bagi pengisytiharan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah berkenaan adalah tidak berperlembagaan.

Tetuan Amelda Fuad Abi dan Aidil yang mewakili Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) dalam satu kenyataan berkata notis usul tersebut difailkan pada 19 Dis lepas.

"Seksyen 96 dan 97 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 menetapkan bahawa sebelum merayu ke Mahkamah Persekutuan, permohonan untuk kebenaran merayu perlu diperoleh terlebih dahulu.

"Justeru, Mappim dan Gapena memfailkan notis usul memohon kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan atas isu-isu perlembagaan dan perundangan berkenaan kedudukan Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil di seluruh Malaysia berdasarkan Fasal 152 (1) Perlembagaan Persekutuan," menurut firma guaman itu dalam kenyataan tersebut.

Pemfailan notis usul itu perlu dilihat dari sudut isu keperlembagaan dan perundangan serta tidak disensasikan sebagai isu perkauman.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili Mappim dan Gapena ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Selain Mappim dan Gapena, Mahkamah Rayuan pada pada 23 Nov lepas turut menolak permohonan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru) selepas mendapati sekolah jenis kebangsaan atau sekolah vernakular bukanlah pihak berkuasa awam dan oleh itu penggunaan bahasa Cina atau Tamil sebagai bahasa pengantar untuk pengajaran di sekolah berkenaan tidak dilarang.

Pada 29 Dis 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak saman dikemukakan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mappim, Gapena dan Isma. Bagaimanapun, GPMS tidak memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bahru Abazafree Mohd Abbas (kini Hakim Mahkamah Tinggi) pada 29 Mei tahun lepas, turut memutuskan bahawa kewujudan sekolah vernakular adalah berperlembagaan dan menolak saman yang difailkan I-Guru.

Menerusi saman difailkan pada Disember 2019, GPMS, Mappim, Gapena dan Isma menamakan beberapa pihak termasuk kerajaan, kumpulan pendidik Cina Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia serta Persatuan Tamilar Thurunal (Perak).

I-Guru pula, yang menamakan Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia, memohon deklarasi bahawa Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 adalah tidak konsisten dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah terbatal serta tidak mempunyai kesan.

Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Tamil Neri Malaysia, Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia, MCA dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) telah dibenarkan mencelah dalam saman yang difailkan oleh I-Guru.

-- BERNAMA