KUALA LUMPUR: Sekolah vernakular kini menjadi medium penyatuan antara kaum, bukan lagi pemisah seperti mana yang pernah didakwa sebelum ini.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, dapatan itu diperoleh daripada forum melibatkan tokoh dan negarawan anjuran kementerian itu baru-baru ini.

Menurutnya, sekolah vernakular dilihat memberi manfaat khususnya kepada orang Melayu dan Bumiputera yang kini semakin ramai boleh berbahasa Mandarin dan Tamil.

“Selepas kita mengadakan satu wacana, forum, perbahasan antara tokoh-tokoh, negarawan, didapati sekolah vernakular itu memberi manfaat kepada orang bukan Cina, bukan India, khususnya orang Melayu yang sekarang belajar di Sekolah Cina, Sekolah Tamil.

“Mereka sekarang semua sudah pandai cakap Mandarin, Tamil. Sama juga di Sarawak.

“Sekolah Cina di Sarawak, 60 peratus daripadanya disertai golongan Bumiputera dan mereka keluar, fasih Bahasa Mandarin. Ia kini menjadi faktor penyatu, bukan pemisahan. Ia sudah berbeza sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sambutan Anak Merdeka di Dewan Utama, Memorial Tun Hussein Onn di Kuala Lumpur pada Khamis.

Aaron mengeluarkan kenyataan itu sebagai respons terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencadangkan agar sekolah vernakular dimansuhkan.

Dr Mahathir berkata demikian dalam sesi soal jawab Majlis Ilmu ‘Peradaban dan Sosiologi’ pada Rabu, dan kenyataan terbaharu itu berbeza dengan pandangan beliau pada tahun lepas.

Dalam pada itu, ketika ditanya peruntukan untuk kementeriannya menjelang Bajet 2023, beliau menyatakan akan meminta peruntukan tambahan untuk tahun hadapan.

Begitupun, beliau enggan berkongsi jumlah yang akan diminta kerana menurutnya, ia masih lagi di peringkat awal.

“Memang ada tapi saya tak boleh sebut sekarang. Memang kita akan memohon untuk diperbanyakkan peruntukan di tahun-tahun akan datang sebab kita akan ada banyak aktiviti.

“Kita akan menambahkan lagi aktiviti, menjurus kepada perpaduan dan menaikkan ekonomi rakyat kita di peringkat komuniti.

“Memang kita akan mohon lebih banyak peruntukan dalam tahun akan datang,” ujarnya lagi.