KUALA LUMPUR : Keputusan Mahkamah Persekutuan mengetepikan undang-undang syariah Negeri Selangor berhubung hubungan seks luar tabii adalah selari dengan prinsip kesamarataan yang termaktub di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

G25 Malaysia dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, Perkara 8 menyatakan semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak untuk mendapatkan perlindungan undang-undang yang sama.

Menurutnya, undang-undang Negeri seperti seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, seandainya dibenarkan berkuatkuasa merupakan undang-undang yang bertentangan dengan prinsip kesamarataan.

BACA: Undang-undang syariah seks luar tabii Selangor tidak sah - Mahkamah Persekutuan

BACA: Persetubuhan luar tabii: MAIS, PDRM kerjasama siasat di bawah Kanun Tatacara Jenayah

BACA: Keputusan kes seks luar tabii: Menteri Agama adakan perbincangan dengan Jakim

“Ini adalah kerana orang Islam di negara ini yang melakukan kesalahan hubungan seks luar tabii boleh dihukum di bawah dua undang-undang, iaitu, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Seksyen 377A Kanun Keseksaan.

“Sedangkan orang bukan Islam yang melakukan perbuatan yang sama cuma boleh dihukum di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan sahaja. Dalam lain perkataan, Seksyen 28 mendiskriminasikan orang Islam.

“Orang Islam akan tertakluk kepada dua jenis kesalahan dan hukuman, sedangkan orang bukan Islam akan tertakluk kepada satu kesalahan dan hukuman sahaja,” katanya.


Seks Luar Tabii | Hormati keputusan Mahkamah Persekutuan

Menurut kenyataan itu lagi, G25 tidak menafikan kekeliruan mungkin timbul dengan keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan.

“G25 tidak menafikan ini boleh berlaku kerana orang ramai di negara ini yang beragama Islam mengetahui bahawa hubungan seks luar tabii merupakan kesalahan terhadap perintah agama Islam.

“Namun begitu, adalah menjadi kewajipan Mahkamah Persekutuan untuk mendukung keluhuran Perlembagaan sepertimana termaktub di bawah Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan dan di bawah prinsip ketiga dan keempat Rukun Negara,” ujarnya.

Tambahnya, mereka juga berpendapat umat Islam di Malaysia harus menerima keputusan itu.

“Ia bukan sahaja selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, tetapi ia juga memberi keyakinan kepada semua rakyat berbilang kaum dengan memastikan keseragaman dalam undang-undang (a uniform system of law) untuk seluruh negara.

“Ini juga memberi keyakinan kepada dunia luar bahawa Malaysia adalah negara yang progresif dalam sistem perundangannya,” katanya lagi.