AYER KEROH:Cabaran menghapuskan wabak COVID-19 tidak menghalang usaha memperkasa sektor awam yang merupakan antara agenda utama kerajaan, kata perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata usaha itu dilakukan untuk memastikan sistem perkhidmatan yang cekap, telus dan mesra rakyat.

Beliau berkata tanggungjawab penjawat awam kini adalah membudayakan norma baharu dalam cara kerja, supaya perkhidmatan tersebut tetap dapat disampaikan secara efektif kepada golongan sasar di samping meningkatkan produktiviti kerja.

Tambahnya, di peringkat kerajaan pula, adalah penting inisiatif menambah baik aspek integriti dan tadbir urus kerajaan dilaksanakan, misalnya dilakukan melalui usaha membanteras amalan rasuah bagi memastikan kecekapan dan ketelusan pengurusan pentadbiran.

"Oleh kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) merupakan antara warga kerja barisan hadapan yang sering terdedah dengan tarikan rasuah, maka usaha membanteras jenayah ini perlu kekal sebagai agenda penting yang perlu dilaksanakan meluas dalam kalangan penjawat PBT.

"Ini agar kita dapat mewujudkan sebuah budaya kerja yang berintegriti tanpa berkompromi dengan mana-mana nilai dan etika," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan secara maya Persidangan Perwakilan Tritahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) kali ke-27 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, pada Isnin.

Dalam ucapannya, perdana menteri menyeru agar PBT dan agensi berkaitan dapat turun padang dengan lebih kerap untuk meninjau dan memahami keadaan semasa.

Selain itu, kata beliau, ia juga bertujuan meneliti isu-isu berhubung kakitangan mereka yang saban masa bertemu dengan orang ramai bagi menyelesaikan urusan seharian.

Muhyiddin turut menyambut baik usaha ANULAE yang bergabung dengan Cuepacs untuk bersama-sama menangani masalah dalam kalangan ahli kesatuan, khususnya para penjawat awam demi menjaga kebajikan mereka.

"Persidangan perwakilan ini merupakan peluang buat semua warga ANULAE, untuk berbincang dan menyuarakan pandangan tentang isu-isu berkaitan kebajikan ahli.

"Saya berharap agar kita semua dapat bersama-sama berganding bahu untuk memastikan hak dan kebajikan setiap kakitangan awam dapat dipelihara dengan sebaik-baiknya.

"Saya juga berharap agar kesatuan ini akan terus memainkan peranan sebagai 'mata dan telinga' dalam komuniti setempat, dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan agensi-agensi di bawah kerajaan negeri termasuk PBT," katanya.

Beliau berkata, oleh sebab itu, sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan sumbangan penjawat awam, beberapa inisiatif telah diumumkan baru-baru ini menerusi Belanjawan 2021.

Antaranya bantuan khas secara sekali beri (one-off) sebanyak RM600 kepada kakitangan awam dengan gred 56 dan ke bawah, manakala pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen layak mendapat elaun sebanyak RM300.

"Petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan juga diberi bantuan sekali beri sebanyak RM500 sebagai tambahan kepada elaun khas COVID-19 sebanyak RM600, yang telah diberikan kepada mereka semenjak bulan Mac atas usaha menangani pandemik itu.

"Petugas barisan hadapan lain yang layak berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pula, akan menerima elaun sebanyak RM300," tambahnya.