KUALA LUMPUR: Sektor korporat dan perniagaan digalakkan memperhebat penglibatan komuniti dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ke arah merealisasikan agenda perpaduan negara.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata usaha berkenaan boleh dimulakan melalui kerjasama strategik melibatkan penajaan acara pertukaran budaya, menyokong program yang merapatkan jurang budaya dan menggalakkan pendidikan inklusif menerusi program pembiayaan.

"Terdapat pelbagai inisiatif di bawah kementerian yang pihak korporat juga boleh memainkan peranan utama dalam agenda pembangunan kemasyarakatan seperti Kebuniti MADANI, Tuisyen Kami, Biasiswa Tunku Abdul Rahman, Kotak Rahmah dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

"Usaha berkenaan bukan sahaja memperkukuh ikatan komuniti, tetapi juga meningkatkan reputasi syarikat untuk mempromosikan keharmonian dan perpaduan sosial. Penglibatan komuniti yang aktif, sambil dipandu oleh inisiatif kementerian membolehkan perniagaan melibatkan diri secara aktif dalam masyarakat," katanya.

Aaron berkata demikian selepas menghadiri Seminar Kebangsaan tentang Menggalakkan Perpaduan Nasional dan Pembinaan Negara Bangsa Melalui Perniagaan dan Keusahawanan anjuran KSI Strategic Institute for Asia Pacific, Economic Club of Kuala Lumpur dan Full Gospel Business Men's Fellowship (FGBMF) Malaysia di sini semalam.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Presiden KSI Strategic Institute for Asia Pacific Tan Sri Michael Yeoh.

Aaron berkata masyarakat juga menerima pelbagai manfaat dalam aspek pendidikan, ekonomi dan kesejahteraan daripada inisiatif CSR yang dilakukan oleh sektor kerajaan dan korporat.

"Sebagai contoh, Kebuniti (MADANI) di Terengganu mampu memperoleh hingga RM70,000 setahun selepas menjadi pembekal cili dan timun. Kami berhasrat untuk memperluas program ini di seluruh negara dengan membuka 100 lagi Kebuniti tahun depan.

"Program Tuisyen Kami yang dilaksanakan melalui Yayasan Sukarelawan Siswa juga memberi manfaat kepada komuniti luar bandar, golongan asnaf dan kumpulan B40. Baru-baru ini, Lembaga Tabung Haji menyalurkan RM500,000 untuk pelaksanaan program tuisyen itu bagi tempoh 2023/2024," katanya.

Beliau turut mempelawa individu dan syarikat untuk meneroka bentuk perkongsian dan sokongan lain bagi memastikan pemerkasaan komuniti, kemajuan pendidikan, membentuk identiti nasional, kesejahteraan sosial dan pemuliharaan warisan.

Mengulas tentang acara itu, Aaron berkata seminar berkenaan ialah platform penting untuk membincangkan kepentingan strategik dalam membina dan membangunkan perniagaan pelbagai kaum yang tulen di Malaysia.

Anugerah khas iaitu Anugerah Kecemerlangan Perniagaan dan Kepimpinan CSR turut disampaikan untuk mengiktiraf dan meraikan perkongsian perniagaan pelbagai kaum, serta usahawan dan syarikat terkemuka atas sumbangan mereka kepada inisiatif CSR.

-- BERNAMA