Sektor lojistik, pengangkutan kekal pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia

Jana Santhiran turut memuji 18 pegawai daripada kementerian yang menerima pengiktirafan CILT tahun ini. - Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Sektor logistik dan pengangkutan terus memainkan peranan penting sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia, yang menyumbang antara empat hingga enam peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Jana Santhiran Muniyan.
Ringkasan AI
- Sektor logistik dan pengangkutan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia, menyumbang antara empat hingga enam peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.
- Subsektor pengangkutan dan penyimpanan menyediakan pekerjaan kepada kira-kira 670,000 orang, lima peratus daripada tenaga kerja negara.
- Industri logistik menghadapi cabaran dalam pembangunan modal insan seperti ketidakpadanan kemahiran, kadar pusingan tinggi dalam peranan operasi, dan kekurangan bakat, menuntut peningkatan kemahiran, akreditasi profesional, dan pembelajaran berterusan.
Walaupun mencatatkan pertumbuhan yang kukuh, industri itu terus menghadapi beberapa cabaran, terutamanya dalam pembangunan modal insan.
"Antara isu utama adalah ketidakpadanan dalam kemahiran, kadar pusingan yang tinggi dalam peranan operasi, kesediaan bakat yang agak terhad dan keperluan bagi meningkatkan keupayaan dalam kemampanan, kecekapan tenaga serta pengurusan karbon," katanya.
Oleh itu, perlu ada pendekatan yang lebih strategik untuk pembangunan tenaga kerja, khususnya ke arah peningkatan kemahiran, akreditasi profesional dan pembelajaran berterusan.
"Sehubungan ini, CILT telah menjadi rakan kongsi yang sangat diperlukan bagi kerajaan dan industri dalam memupuk profesional yang sedia masa hadapan, kompeten dan beretika.
"Melalui program yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, CILT memastikan pengamal logistik Malaysia terus mengikuti standard global," katanya.
Jana Santhiran menambah kementerian amat menghargai kerjasama dengan CILT kerana ia menyokong inisiatif yang berterusan di bawah Dasar Pengangkutan Kebangsaan dan rangka kerja MADANI Malaysia dalam membangunkan ekosistem pengangkutan yang mampan, inovatif serta berpusatkan kemanusiaan.
"Kerajaan, melalui Belanjawan 2026 dan rangka kerja dasar yang lain, terus mengutamakan pembangunan industri dengan mempromosikan logistik hijau, pendigitalan termasuk kesambungan multimodal, selain pembangunan bakat di seluruh sektor awam dan swasta," katanya.
Beliau memberitahu pasaran logistik Malaysia yang bernilai kira-kira US$29 bilion tahun ini (US$1 = RM4.17), dijangka berkembang mencecah hampir US$38 bilion menjelang 2030, menokok pada kadar tahunan purata lima peratus.
"Pertumbuhan ini akan dipacu oleh integrasi serantau, pengembangan e-dagang, transformasi digital dan peralihan global ke arah operasi rendah karbon. Untuk mengambil sepenuhnya peluang ini, kita mesti terus melabur dalam teknologi, bakat dan kepercayaan," katanya.
Jana Santhiran turut memuji 18 pegawai daripada kementerian yang menerima pengiktirafan CILT tahun ini.
"Ketekunan mereka dalam mengimbangi pembelajaran, tugas rasmi dan tanggungjawab kepada keluarga adalah bukti profesionalisme, disiplin serta dedikasi mereka kepada perkhidmatan awam," katanya lagi.
Sejumlah 581 graduan telah diiktiraf pada acara tersebut, yang merangkumi 355 graduan dari universiti awam dan swasta termasuk 226 profesional dari industri logistik serta pengangkutan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


