KUALA LUMPUR: Seramai 13 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini menyatakan kekecewaan terhadap parti itu dan menggesa Bersatu supaya segera keluar atau dikeluarkan daripada gabungan Perikatan Nasional (PN).
Menerusi satu kenyataan bersama, mereka berkata tindakan Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan sikap kepimpinan tertinggi Bersatu sendiri yang angkuh dan gagal menghormati semangat kerjasama dalam PN.
Mengulas lanjut, menurut mereka, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta beberapa pemimpin utama parti didakwa sering mengabaikan pandangan dan teguran yang dikemukakan demi memastikan hubungan antara parti komponen PN terus kukuh.
"Kami amat kecewa dengan sikap Bersatu yang kerap kali melanggar semangat kebersamaan dalam PN. Keengganan menghormati semangat setiakawan antara parti komponen akhirnya memakan diri dan menghancurkan keutuhan koalisi yang telah dibina dengan susah payah," menurut kenyataan bersama itu.
Mereka mendakwa pelbagai teguran telah disampaikan secara dalaman kepada Muhyiddin berhubung hala tuju parti serta kepentingan memelihara hubungan dalam PN, namun tidak diberi perhatian sewajarnya.
Malah, mereka mendakwa Lembaga Disiplin parti telah disalahgunakan untuk mengekang mana-mana pihak yang cuba menyuarakan pandangan berbeza atau kritikan terhadap kepimpinan parti.
Menurut kenyataan bersama itu lagi, kedudukan Bersatu dalam PN kini semakin lemah, termasuk dari segi jumlah Ahli Parlimen yang masih bersama parti berkenaan.
"Jika Bersatu kekal dalam PN, maka kelemahan Bersatu dan keangkuhan Muhyiddin akan terus melumpuhkan PN," menurut mereka.
Mereka turut menuntut supaya semua lantikan politik dan jawatan Exco yang dipegang wakil Bersatu di negeri-negeri berkaitan disemak semula serta dirombak bagi memastikan kestabilan dan kelangsungan pentadbiran.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, serta Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.
Turut menandatangani ialah Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan; Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah; Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Muslimin Yahaya.
Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan; Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor; Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Roslan Hashim dan Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail.