SEMPORNA: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) meminta supaya sektor pelancongan di negeri itu, khususnya di kawasan pulau diberikan bantuan subsidi diesel dan petrol.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, krisis bekalan global memberi kesan kepada pengusaha pelancongan di pulau, sekali gus meningkatkan kos operasi harian mereka apabila harga diesel dan petrol naik mendadak.
“Misalnya di pulau di Semporna, kos yang mereka belanja mungkin dalam RM100,000 sebelum ini tetapi selepas kenaikan harga minyak, kos untuk membawa pelancong ke resort, kawasan menyelam dan mengelilingi pulau bertambah dua kali ganda.
“Resort di kawasan pulau tiada bekalan elektrik dan bergantung kepada generator yang menggunakan diesel. Ini akan membebankan pengusaha pelancongan,” katanya kepada pemberita, di sini, pada Jumaat.
Jafry berkata, KePKAS akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Kewangan bagi membolehkan sektor pelancongan di Sabah tersenarai sebagai antara sektor yang mendapat subsidi.
Beliau berkata, sektor pelancongan tidak tersenarai dalam Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) atau Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana dianggap beroperasi secara komersial untuk keuntungan.
Pada 4 Mei, KPDN memaklumkan, pendaftaran untuk SKDS dibuka bagi kenderaan pengangkutan barangan darat bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
-- BERNAMA