Skip to main content

Politik

UMNO, BN selesa kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan - Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Perhimpunan Kami Gen MARA
Ahmad Zahid berkata keselesaan yang terjalin bukan bermaksud mana-mana pihak bersikap leka, sebaliknya terbina hasil persefahaman kukuh antara parti kerajaan untuk memastikan rakyat tidak terus dibebani polemik politik.

KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) selesa bekerjasama dengan setiap parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan kerana semua pihak berkongsi matlamat sama khususnya dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO berkata keselesaan yang terjalin bukan bermaksud mana-mana pihak bersikap leka, sebaliknya terbina hasil persefahaman kukuh antara parti kerajaan untuk memastikan rakyat tidak terus dibebani polemik politik.

“Rakyat mesti tidak dipersulitkan dengan polemik berlarutan dan perbezaan pendirian atau pandangan setiap masa,” katanya dalam temu bual khas sempena ulang tahun ke-80 UMNO, di sini baru-baru ini.

Pengerusi BN itu berkata demi kepentingan rakyat, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan memilih untuk mengetepikan perbezaan dan ketidakselesaan politik bagi memastikan setiap agenda dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilaksanakan secara berkesan.

Beliau berkata kerajaan memberi keutamaan kepada perkara yang menjadi titik persamaan antara manifesto parti-parti bertanding pada PRU15, terutama dalam isu kos sara hidup, pendidikan dan pengangguran.

“Kemudian tentang pendidikan, pengangguran, itu tidak ada pertikaian pun antara parti-parti yang bertanding,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Beliau berkata sebanyak 47 peratus kandungan manifesto parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan mempunyai persamaan, sekali gus menjadi asas kukuh kepada kerjasama sedia ada.

“Jadi kenapa kita mahu melayan perbezaan jika kita mempunyai matlamat yang sama?

"Selain itu, terdapat perkara-perkara terperinci yang kita harus tangani, itu sebabnya kita mempunyai Majlis Perundingan Antara Parti untuk merundingkan perbezaan dan melaksanakan kebersamaan daripada manifesto untuk mempunyai tujuan jelas," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan semua parti komponen Kerajaan Perpaduan termasuk DAP menghormati empat tonggak utama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini dibuktikan dengan beberapa keselesaan yang telah kami lalui dan mereka amat menghormati perjanjian penubuhan Kerajaan Perpaduan, yang terdapat empat tonggak utama iaitu soal agama Islam, Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu, soal hak istimewa orang Melayu.

"Mereka juga bukan sekadar menghormati tetapi mengakui itu adalah hakikat yang termaktub dalam Perlembagaan,” kata beliau.

Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas PRU15 pada 2022 apabila tiada gabungan memperoleh majoriti mudah dan ia diterajui Pakatan Harapan (PH) bersama BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan serta disokong beberapa parti lain dan Ahli Parlimen bebas.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video