KLANG: Sektor pencarian seorang lagi pemancing yang dilaporkan hilang di One Fathom Bank berdekatan Pulau Ketam di sini, menumpukan kepada radius 105 batu nautika persegi di perairan sempadan Selangor dan Perak terutama kawasan Hutan Melintang.
Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Leftenan Nur Affiq Nor Hisham berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelima diteruskan pihaknya bersama beberapa agensi keselamatan bermula 7 pagi tadi.
Beliau berkata usaha pencarian meliputi sektor laut dan udara itu menggunakan tiga aset iaitu sebuah Kapal Maritim (KM) Nusa, pesawat CL415MP dan bot peronda RH33 Pasukan Polis Marin (PPM).
“Pencarian sektor laut menumpukan perairan sempadan Selangor dan Perak terutama kawasan Hutan Melintang iaitu lokasi penemuan dua mayat pemancing sebelum ini.
“Pesawat bombardier CL415MP disertai lima pegawai dan anggota APMM turut melakukan pencarian di radius 105 batu nautika di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Sementa di sini hari ini.
Tinjauan Bernama mendapati PHC itu masih dipenuhi puluhan ahli keluarga pemancing yang menantikan perkembangan lanjut berhubung operasi berkenaan.
Nur Affiq berkata operasi pencarian belum menemukan seorang lagi mangsa yang masih hilang setakat 12 tengah hari tadi.
“Operasi SAR disertai 35 pegawai dan anggota itu sedang giat dijalankan dengan kerjasama polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Pencarian dijangka akan ditangguhkan pada 7 malam ini dan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan," katanya.
Terdahulu, polis mengesahkan mayat kedua pemancing dipercayai Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, ditemukan di perairan Hutan Melintang pada 4.26 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Ramsay Embol berkata penemuan terbaharu itu menjadikan enam daripada tujuh mangsa yang hilang telah ditemukan setakat ini.
Empat mangsa dalam keadaan selamat manakala dua meninggal dunia termasuk Mohd Shahril Abd Rahman, 43, yang mayatnya ditemukan di perairan Hutan Melintang pada 8.30 pagi Rabu lepas.
Seorang lagi pemancing yang hilang ialah Raja Mohd Rozi Raja Mahamud, 49, belum ditemui setakat ini.
-- BERNAMA