PADA hari ulang tahun kelahiran ke-68 Bruce Willis pada Ahad, isteri aktor tersohor Hollywood itu, Emma Heming berkongsi mesej bagaimana setiap seorang daripada anggota masyarakat perlu mengambil berat terhadap golongan yang mengidap demensia.

Dalam usaha berterusan menyebarkan kesedaran berhubung realiti menerima berita anggota keluarganya menghidap penyakit itu,  Heming berkata, adalah mustahak seseorang itu melihat ujian itu dari segenap sudut.

“Saya selalu menerima mesej daripada orang ramai yang berkata, ‘kamu sangat kuat, saya tidak tahu bagaimana kamu melakukannya.’

“Saya tidak diberi pilihan. Saya berharap (diberi pilihan), tetapi saya juga membesarkan dua orang anak (dalam masa sama),” katanya merujuk kepada dua anak perempuannya, Mabel and Evelyn hasil pernikahan dengan Willis.

Heming juga mengakui, dalam hidup setiap seorang harus meletakkan diri mereka pada kedudukan orang lain untuk sama-sama merasai bagaimana kehidupan perlu dilalui dan itu juga yang sedang dilakukannya.

“Ada juga pada masa-masa tertentu saya berduka setiap hari, bersedih setiap hari dan saya benar-benar merasakan perkara itu pada hari kelahirannya,” ungkap Heming dalam hantaran di akaun Instagram peribadinya.

Sebagai orang yang paling rapat dan yang menjaga Willis, Heming merakamkan perjalanan hidupnya bersama suami yang mengidap demensia serta memberitahu setiap pesanan mesej yang diterima daripada pengikut-pengikutnya sangat membantu meringankan kesedihannya.

“Sebagaimana saya lakukan untuk diri saya, saya lakukan juga kerana anda semua kerana saya tahu anda semua sangat menyayangi suami saya,” ujar Heming meramkan penghargaan buat pengikut-pengikutnya dan pencinta Willis.


Sementara itu, bekas isteri Willis, aktres Demi Moore dalam hantaran di Instagram pula menyatakan rasa gembira dapat meraikan ulang tahun ke-68 lelaki yang pernah bergelar suaminya.

“Selamat hari lahir, BW (Bruce Willis). Kami sangat gembira dapat meraikannya bersama hari ini. Saya sayang kamu serta keluarga kami.

"Terima kasih semua atas kasih sayang dan ucapan yang diberikan. Kami sangat menghargainya," katanya.


Keluarga Willis termasuk Moore dan tiga anak mereka, Rumer, Scout and Tallulah pada Februari lalu berkongsi berita pelakon veteran itu disahkan menghidap demensia selepas melakukan pemeriksaan dan ujian pada 2022.