SHAH ALAM: Selangor akan menyerap dan menanggung peningkatan kos bekalan air lebih sejuta rakyat negeri itu membabitkan 285,673 akaun Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang merupakan penerima air percuma melalui Skim Air Darul Ehsan (SADE).

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kos tanggungan kerajaan negeri akan meningkat daripada RM31.8 juta kepada anggaran RM37.3 juta setahun bagi skim berkenaan.

Beliau berkata susulan itu, manfaat yang diterima bagi setiap isi rumah yang menerima SADE sebelum ini sebanyak anggaran RM11.40 sebulan meningkat kepada RM13 sebulan.

"Kerajaan negeri juga akan menanggung peningkatan bagi rumah ibadat dan rumah kebajikan di Selangor dengan anggaran kos sebanyak RM2 juta.

"Secara keseluruhan, tanggungan kos kepada kerajaan negeri bagi pemberian air percuma melalui SADE dan penyerapan peningkatan tarif air bagi rumah ibadat serta rumah kebajikan adalah sebanyak anggaran RM40 juta setahun," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata jumlah yang diperuntuk dalam Belanjawan Selangor 2024 bagi bantuan air percuma adalah mencukupi untuk manfaat dan kemaslahatan rakyat.

"Di kesempatan ini, kerajaan negeri juga membuka peluang kepada rakyat negeri yang berpendapatan RM5,000 ke bawah dan ingin memohon untuk air percuma SADE untuk melayari laman sesawang https://www.airselangor.com/residential/skim- air-darul-ehsan/ bagi maklumat lanjut serta proses pemberian air percuma," katanya.

Semalam, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan bermula 1 Feb ini, pelarasan tarif air yang baharu bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dilaksana.

Pelarasan itu, yang menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu, dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif dengan struktur dan komponen tarif air diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung serta Labuan dan ia akan dikaji semula setiap tiga tahun bagi memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

Dalam pada itu, Amirudin berkata pendirian kerajaan negeri menerusi pelarasan itu akan menjamin kelangsungan dan membolehkan Air Selangor mengelakkan isu paip bocor serta pecah dengan menggandakan kadar penggantian paip usang daripada 150 kilometer (km) setahun kepada 300 km setahun bermula tahun ini.

"Selain itu, pembinaan loji rawatan air baharu akan diperkukuh bagi meningkatkan margin rizab air kepada 20 peratus menjelang tahun 2030 termasuk melipatgandakan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan aset seperti paip baharu bagi kawasan yang mengalami tekanan air rendah.

"Selain itu, tahap kualiti air yang disampaikan kepada rakyat dapat terus dikekalkan pada 99 peratus mengikut piawaian Kementerian Kesihatan dengan penambahan pemasangan penganalisis dalam talian untuk memantau kualiti air," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui Air Selangor juga akan memantapkan kualiti perkhidmatan yang lebih responsif dan efisien kepada rakyat termasuk penaiktarafan aplikasi Air Selangor.

Air Selangor merupakan penyedia perkhidmatan bekalan air terbesar di Malaysia yang menyampaikan air bersih kepada lebih lapan juta rakyat membabitkan 2,661,743 akaun meliputi pengguna domestik dan bukan domestik.

-- BERNAMA