NATIONAL
Selangor akan tinjau impak tarif AS ke atas industri

Ng Sze Han berkata tinjauan selama seminggu ini bertujuan untuk memahami kesannya terhadap syarikat. - Bernama
SUBANG JAYA: Kerajaan Negeri Selangor melalui Invest Selangor Bhd akan menjalankan tinjauan pada minggu ini untuk mengumpulkan maklum balas daripada pemain industri mengenai impak tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas perniagaan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata tinjauan selama seminggu ini bertujuan untuk memahami kesannya terhadap syarikat.
"Kami perlu memahami impaknya, contohnya, mengenai pembangunan hartanah dan industri pembuatan.
"Kami akan menerima maklum balas daripada sektor-sektor ini bagi menyediakan diri selain membantu mereka dalam apa jua cara yang boleh," katanya pada sidang akhbar selepas Program Pembangunan Industri Semikonduktor Bilateral Brazil X Malaysia di sini hari ini.Pada Rabu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan bahawa lebih daripada 75 negara telah diberikan penangguhan 90 hari mulai tarikh akhir 9 April yang akan mengenakan mereka kepada tarif melebihi 10 peratus, dengan beberapa negara lain menghadapi kadar yang lebih tinggi.
Thailand dikenakan levi 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei serta Malaysia masing-masing 24 peratus dan Filipina 17 peratus, manakala Singapura menghadapi tarif asas sebanyak 10 peratus.
Hari ini, Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu Semikonduktor Malaysia bekerjasama dengan ChipInventor, Brazil dan Amazon Web Services (AWS) untuk mempercepatkan inovasi, mengukuhkan rantaian nilai semikonduktor dan memupuk bakat bertaraf dunia dalam reka bentuk serta pembuatan cip.
Taman ini adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara yang direka bagi memacu pertumbuhan negara dalam inovasi semikonduktor. Ia menyatukan syarikat, pemula niaga, institusi penyelidikan dan program pembangunan bakat di bawah satu bumbung.
Ng berkata kerjasama ini akan menyediakan alternatif strategik yang stabil kepada syarikat-syarikat yang ingin mengurangkan risiko dan berkembang di Asia.
"Kerjasama seperti dengan Brazil menunjukkan bahawa kami mampu berkembang dibawah ketegangan perdagangan melalui kerjasama, perkongsian nilai dan ekosistem teknologi yang terbuka.
"Kepakaran Brazil dalam reka bentuk semikonduktor melengkapkan ekosistem pembuatan Malaysia yang kukuh. Bersama-sama, kami membuktikan bahawa ekonomi sedang pesat membangun mampu menerajui industri berteknologi tinggi melalui inovasi dan kepercayaan bersama, 'katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami