ALOR GAJAH: Nazri Ramli menyifatkan peluang dalam saingan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu sebagai 50-50 susulan penyandang selama tiga penggal Datuk Seri Sulaiman Md Ali tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, pengaruh Sulaiman tidak mematahkan semangatnya untuk mencabar Barisan Nasional (BN).
Malah, ujarnya hubungan baik dengan bekas Ketua Menteri itu sejak beberapa tahun lalu menjadi antara panduan dalam memahami pendekatan mendekati masyarakat.
“Peluang ini saya anggap 50-50. Walaupun kita tahu BN ada undi asasnya, kita juga yakin dengan undi asas kita. Jadi, jurang perbezaan itu saya rasa tidak nampak.
“Jumlah majoriti yang besar itu terletak pada batang tubuh YB Sulaiman. Apabila beliau tidak lagi menyertai pilihan raya, saya rasa peluang lebih terbuka kepada kedua-dua calon.
“Saya yakin saya mampu memberi cabaran yang sengit kepada pesaing. Walaupun pergerakan kita nampak agak perlahan, kita bergerak atas strategi yang telah dirancang,” katanya.katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI, di sini, pada Sabtu.
Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah itu juga telah aktif dalam komuniti setempat sejak tiga hingga empat tahun lepas, termasuk menerima dan mengangkat aduan penduduk di kawasan berkenaan.
Mengulas agenda jika diberi mandat di DUN Lendu, Nazri berkata, beliau mahu memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi setempat menerusi konsep ‘Local to Nation’, khususnya membantu peniaga kecil dan pengusaha produk buatan tempatan menembusi pasaran lebih luas.
Katanya, kerjasama dengan kerajaan negeri boleh dimanfaatkan bagi membantu golongan itu dari segi promosi, suntikan modal dan meningkatkan standard produk.
“Peniaga kecil ini saya mahu bantu supaya produk mereka bukan hanya berada di peringkat tempatan, tetapi boleh pergi ke pasaran negeri dan nasional,” katanya.
Nazri turut mahu menjadikan Lendu sebagai ‘Sports Hub’ dengan meningkatkan infrastruktur sukan bagi membangunkan konsep pelancongan berasaskan sukan, sekali gus menjana pendapatan kepada komuniti setempat.
Selain ekonomi dan sukan, beliau berkata penyelesaian masalah banjir menjadi antara keutamaan sekiranya diberi mandat.
Tambahnya, pendekatan lebih menyeluruh perlu dirangka bersama agensi teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Tanah dalam mencari penyelesaian masalah banjir.
“Kalau diberi mandat, tindakan awal saya ialah minta lihat semula pelan perancangan. Kita tidak boleh hanya selesaikan masalah di satu tempat, tetapi kena tengok secara menyeluruh dan pelan itu perlu didedahkan kepada masyarakat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Nazri mahu golongan muda diberi lebih banyak ruang menerusi pembangunan kemahiran dan keusahawanan, termasuk memanfaatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau berkata, pendekatan berkenaan selari dengan hasratnya untuk menjadikan wakil rakyat lebih dekat dengan masyarakat, selain menggunakan institusi sekolah, masjid dan komuniti sebagai platform pembangunan rohani, jasmani dan pembentukan generasi muda.
Nazri berkata, penerimaan penduduk sepanjang lapan hari kempen juga menunjukkan wujud keinginan terhadap perubahan, namun mengakui BN masih mempunyai kelebihan dari segi nama dan undi asas di kawasan itu.
Dalam PRN Melaka kali ini, Nazri berdepan saingan satu lawan satu di DUN Lendu dengan calon BN, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid, yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Melaka.
DUN Lendu merekodkan jumlah pengundi berdaftar seramai 15,043, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai Hari Pengundian.