PUTRAJAYA: Selangor mencatatkan kes keganasan rumah tangga tertinggi, iaitu 4,690 kes berbanding negeri lain di seluruh negara bagi tempoh 2020 hingga Ogos 2023, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Aiman Athirah Sabu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini selepas pelancaran Program Semarak Skuad WAJA 2023 Peringkat Negeri Selangor, Aiman Athirah berkata jumlah itu adalah berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan di seluruh negara ialah 22,908 kes.

"Terdapat peningkatan kes yang tinggi pada 2021 iaitu 7,468 kes, berbanding 2020 yang mencatatkan 5,260 kes.

"Bagi 2022, jumlah kes keganasan rumah tangga masih tinggi, walaupun menunjukkan sedikit penurunan kepada 6,540 kes," katanya yang juga Ahli Parlimen Sepang.

Beliau berkata bagi menangani perkara tersebut, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menubuhkan Skuad WAJA pada 2021, yang sehingga kini telah merekodkan penyertaan 328,558 ahli, yang terdiri daripada 253,973 ahli wanita dan 74,585 ahli lelaki.

"Skuad WAJA bertindak sebagai ejen perubahan bagi menangani keganasan terhadap wanita dalam komuniti serta membantu membina sebuah masyarakat yang saling membantu serta menyemai keharmonian," katanya sambil menambah ahli Skuad WAJA di Selangor ialah 26,910 orang.

Menurut beliau 1,012 program psikososial Skuad WAJA telah dijalankan dalam komuniti di seluruh negara, dengan 72,942 orang telah disantuni.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 104 program psikososial telah dijalankan melibatkan 12,506 orang yang disantuni di Selangor," katanya.

Aiman Athirah berkata pelaksanaan program Skuad WAJA telah mewujudkan sinergi yang baik antara kerajaan dan komuniti dalam menangani keganasan terhadap golongan wanita.

Beliau berharap Program Semarak Skuad Waja 2023 Peringkat Negeri Selangor dapat memberikan manfaat kepada masyarakat khususnya di Selangor, terutama dalam kalangan ketua komuniti, dengan memberikan kesedaran serta perlindungan kepada golongan wanita daripada segala bentuk keganasan dan diskriminasi.

-- BERNAMA