SHAH ALAM: Selangor menjadi negeri tertinggi di Malaysia yang mencatatkan kes keganasan rumah tangga dengan peningkatan jumlah kes terbabit dilaporkan bermula sejak 2017, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata Selangor menjadi negeri yang mencatatkan kes keganasan rumah tangga tertinggi berbanding negeri lain bagi tiga tahun kebelakangan ini, manakala untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun ini sahaja sebanyak 813 kes dilaporkan.

"Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan terdapat peningkatan kes keganasan rumah tangga di Selangor sejak 2017 hingga 2021 kecuali penurunan pada 2022 sebanyak 466 kes," katanya sesama berucap pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Memerangi Rumah Tangga 2023 Polis Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini, daerah yang mencatatkan kes tertinggi ialah Gombak (147 kes), Kajang (91 kes) dan Petaling Jaya (79 kes) manakala daerah yang mencatatkan kes terendah direkodkan di Shah Alam (21 kes), Sabak Bernam (25 kes) dan Sungai Buloh (26 kes).

Hussein berkata isteri kerap menjadi mangsa bagi kes berkenaan diikuti adik-beradik dan suami selain turut melibatkan mangsa lain seperti bekas suami, bekas isteri, madu, ipar, menantu dan sepupu.

Katanya, pihak polis memandang serius kes keganasan rumah tangga dan masyarakat harus mengubah tanggapan "tidak menjaga tepi kain orang" memandangkan kes jenayah itu boleh mendatangkan mudarat sehingga menyebabkan kematian jika dibiarkan berlarutan.

Dalam pada itu, berhubung kenyataan fitnah berkaitan dakwaan terdapat arahan penutupan 200 pusat tahfiz di negeri ini, beliau berkata kertas siasatan kes berkenaan telah lengkap.

"Kita telah merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan ada satu dua perkara lagi yang perlu kita ambil tindakan, namun belum ada sebarang tangkapan atau arahan untuk pertuduhan setakat ini," katanya.

-- BERNAMA