Selangor catat penurunan 61 peratus kes denggi pada 2025

Jamaliah berkata pencapaian itu hasil usaha berterusan pelbagai agensi dan penglibatan komuniti dalam memperkukuh kawalan serta pencegahan. - Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Selangor mencatat penurunan 61 peratus atau 36,799 kes demam denggi sepanjang tahun lepas berbanding 2024.
Ringkasan AI
- Penurunan kes demam denggi Selangor mencapai 61 peratus pada tahun lepas, menunjukkan jumlah kes berkurangan sebanyak 36,799 berbanding 2024.
- Usaha berterusan pelbagai agensi dan komuniti di Selangor memberi impak positif terhadap kawalan dan pencegahan demam denggi di negeri itu.
- Kerajaan negeri mengalu-alukan trend penurunan ini dengan melancarkan inisiatif bersepadu termasuk peningkatan kerjasama strategik serta kempen kesedaran bagi memastikan Selangor kekal selamat daripada wabak demam denggi.
"Pencapaian ini adalah hasil usaha berterusan kerajaan negeri bersama agensi berkaitan, khususnya Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta penglibatan komuniti dalam memperkukuh aspek pengawalan dan pencegahan denggi.
"Namun, usaha ini tidak boleh dilaksanakan secara bermusim sahaja dan kerajaan negeri komited mengekalkan trend penurunan ini melalui pendekatan bersepadu dan berterusan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Jamaliah berkata Selangor berada di kedudukan ketiga bagi peratus penurunan kes tertinggi pada 2025, manakala Perlis di kedudukan kedua dengan 70 peratus penurunan dan Perak merekodkan 73 peratus penurunan kes.
"Keadaan ini berbeza kerana populasi kedua-dua negeri itu jauh lebih rendah berbanding Selangor yang melebihi tujuh juta penduduk dan kawasan bandar padat, sekali gus menunjukkan keberkesanan kawalan denggi di kawasan berisiko tinggi.
"Kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta melalui Belanjawan Selangor 2026 bagi memperkukuh kerjasama strategik antara JKNS, PBT, Pejabat Daerah dan Tanah, badan bukan kerajaan serta komuniti dalam usaha mencegah peningkatan kes demam denggi," katanya.
Jamaliah berkata antara inisiatif yang akan diperkasakan termasuk Pengurusan Vektor Bersepadu, penambahan lokasi pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia di kawasan hotspot, pengukuhan intervensi berasaskan komuniti serta memperhebat program gotong-royong memusnahkan tempat pembiakan nyamuk.
Beliau turut menyeru semua pihak, termasuk masyarakat agar terus proaktif dalam memastikan Selangor kekal sebagai negeri yang selamat dan sihat untuk semua.
"Kerajaan negeri juga akan meneruskan Kempen Kembara Kesedaran Denggi Negeri Selangor dengan penambahbaikan dan penyertaan komuniti yang lebih meluas, selain memperkasa peranan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA)," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


