Skip to main content

Malaysia

Lembaga Disiplin JPA teliti laporan siasatan pemilikan saham Azam Baki - KSN

Shamsul Azri bin Abu Bakar
Shamsul Azri (foto) berkata beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima laporan itu daripada pengerusi jawatankuasa berkenaan yang juga Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar. -Gambar fail/Facebook

PUTRAJAYA: Laporan Jawatankuasa Khas Siasatan berkaitan isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki akan diteliti Lembaga Disiplin Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam masa terdekat.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima laporan itu daripada pengerusi jawatankuasa berkenaan yang juga Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

Advertisement

"Saya sudah panjangkan laporan itu ke JPA dan kita akan adakan mesyuarat Lembaga Disiplin dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bubur lambuk dan penyerahan Light Operational Vehicle Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata perkara tersebut juga dijangka dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri esok.

"Kita tunggu esok, kita tunggu keputusan kerajaan," katanya.

Kerajaan sebelum ini menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.

Ia susulan Bloomberg dalam laporannya mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun, Azam pada sidang media baru-baru ini, menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video