KUALA LUMPUR: Peningkatan harga bahan api susulan konflik di Asia Barat dijangka memberi pelbagai impak kepada industri penerbangan global, memandangkan kira-kira 30 peratus kos operasi syarikat membabitkan komoditi itu.
Pengarah Eksekutif My Mobility Vision Sdn Bhd, Rahman Hussin berkata kenaikan kos tersebut berpotensi memaksa syarikat penerbangan menilai semula strategi operasi termasuk menaikkan tambang penerbangan.
Advertisement
Menurut beliau, syarikat penerbangan juga mungkin mengambil langkah lain seperti menstruktur semula laluan penerbangan atau menggantung sementara laluan yang kurang strategik dan mempunyai permintaan penumpang yang rendah.
Rahman menjelaskan kenaikan harga bahan api tidak hanya memberi kesan kepada tambang atau laluan penerbangan semata-mata, sebaliknya turut meningkatkan kos keseluruhan perkhidmatan penerbangan.
“Sekitar 30 peratus kos untuk mengoperasikan sesebuah pesawat adalah bahan api. Namun kesannya lebih kompleks kerana apabila harga bahan api meningkat, pelbagai komponen lain dalam perkhidmatan penerbangan turut mengalami kenaikan kos,” katanya ketika di temu bual dalam program Niaga AWANI pada Selasa.
Pada masa sama, beliau berpandangan situasi tersebut juga berpotensi memberi kesan kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), khususnya dari segi tempoh perjalanan dan pilihan laluan penerbangan antarabangsa.
Menurut Rahman, konflik di Asia Barat boleh menyebabkan perubahan laluan penerbangan yang seterusnya memanjangkan tempoh perjalanan dan menjejaskan minat sebahagian pelancong untuk berkunjung ke Malaysia.
“Perubahan laluan mungkin menyebabkan tempoh perjalanan menjadi lebih panjang dan ini boleh menjejaskan minat sebahagian pelancong.
“Sebagai contoh, laluan seperti London ke Kuala Lumpur yang sebelum ini melalui transit tertentu mungkin perlu diubah atau mencari laluan alternatif,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berpendapat syarikat penerbangan perlu segera mengambil langkah strategik termasuk melakukan penilaian semula kos dan operasi bagi mengurangkan kesan yang lebih besar terhadap industri penerbangan susulan konflik tersebut.