Skip to main content

Malaysia

Selangor catat penurunan bilangan penderma organ

SHAH ALAM, 28 April -- Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor Jamaliah Jamaluddin semasa menjawab soalan ketika Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Yang Ke - 15 Tahun 2026 di Dewan Negeri Selangor hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Jamaliah semasa menjawab soalan ketika Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Yang Ke - 15 Tahun 2026 di Dewan Negeri Selangor hari ini. - Gambar Bernama

SHAH ALAM: Bilangan penderma organ di Selangor mencatatkan penurunan daripada 23 penderma pada 2023 kepada 18 pada 2025, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dimaklumkan hari ini.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata seiring dengan trend itu, kadar pendermaan organ pada peringkat negeri menurun daripada 3.19 per sejuta populasi pada 2023 kepada 2.43 per sejuta populasi pada tahun lepas.

Advertisement

“Walaupun berlaku sedikit penurunan pada peringkat negeri, kadar pendermaan organ di Selangor masih tinggi berbanding purata nasional, mencerminkan prestasi yang baik namun memerlukan usaha berterusan untuk meningkatkan penyertaan masyarakat,” katanya di Dewan Negeri Selangor di sini  hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Ong Chun Wei (PH-Balakong) yang ingin tahu kadar pendermaan organ di Selangor pada 2023 dan sehingga kini serta langkah diambil kerajaan negeri bagi meningkatkan kadar pengikrar penderma organ.

Jamaliah berkata Selangor antara negeri mencatatkan jumlah pengikrar derma organ tertinggi di Malaysia, dengan kedudukan keempat secara keseluruhan serta kadar pengikrar sebanyak 1.43 peratus daripada jumlah populasi penduduk.   

“Sebanyak 16,242 jumlah keseluruhan pengikrar penderma organ baharu dari 2023 hingga 2025 iaitu 27 peratus daripada jumlah di seluruh negara, iaitu lebih 58,000 pengikrar bagi tempoh yang sama.

“Pencapaian ini mencerminkan tahap kesedaran dan komitmen tinggi rakyat Selangor terhadap usaha menyelamatkan nyawa melalui amalan derma organ,” katanya.

Jamaliah berkata antara usaha dilaksanakan kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam bagi meningkatkan kadar pendermaan ialah pelaksanaan Kempen Kesedaran Pendermaan Organ Selangor dengan kerjasama Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF). 

“Kempen kesedaran ini yang bertemakan Satu Ikrar, Lapan Harapan bertujuan meningkatkan bilangan pengikrar penderma organ melalui pendekatan pendidikan komuniti, sokongan secara dalam talian dan penglibatan secara berterusan oleh golongan pelajar di institut pengajian tinggi. 

“Selain aspek pendidikan kesihatan, kempen ini turut memberi penekanan kepada penerangan berkaitan isu agama dan budaya termasuk penjelasan pendermaan organ adalah harus dan digalakkan dalam Islam bagi mengurangkan kekeliruan serta stigma dalam kalangan masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video