Skip to main content

Malaysia

Selangor kekal larang penternakan babi

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat menyerahkan watikah pelantikan kepada 32 orang dalam satu istiadat di Bilik Singgahsana, Istana Bukit Kayangan._FB Selangor Royal Office
Pandangan yang dizahirkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai isu penternakan babi di negeri itu dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab institusi Raja dalam memastikan kepentingan rakyat dan negeri terus terpelihara.

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menegaskan pendirian baginda untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri itu.

Ketegasan tersebut selaras dengan kenyataan rasmi yang pernah dizahirkan baginda sebelum ini berhubung larangan terhadap industri penternakan berkenaan di Selangor.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda bertitah pendirian itu dibuat selepas mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran pada tanah, udara dan risiko pencemaran sumber air melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan.

Baginda berpandangan aktiviti penternakan babi berpotensi memberi kesan negatif terhadap alam sekitar termasuk pencemaran tanah, udara dan sumber air.

Menurut baginda, pelepasan sisa kumbahan serta najis daripada ladang ternakan dikhuatiri boleh menjejaskan kebersihan sungai dan kawasan tadahan air di negeri berkenaan.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan pencemaran itu memberi kesan kepada bekalan air bersih yang digunakan jutaan penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Selain faktor alam sekitar, Sultan Selangor turut berpendapat pelaksanaan sistem penternakan moden yang memenuhi piawaian memerlukan kos yang terlalu tinggi dan sukar dilaksanakan secara praktikal.

Justeru, baginda mencadangkan keperluan bekalan daging babi di Selangor dipenuhi melalui import dari negeri lain termasuk Sarawak.

Baginda turut mengambil contoh negara seperti Singapura yang tidak menjalankan aktiviti penternakan babi secara tempatan sebaliknya mendapatkan bekalan dari luar negara.

Dalam masa sama, baginda berpandangan Selangor tidak lagi sesuai untuk pembangunan industri penternakan babi berskala besar mahupun kecil berikutan kekangan tanah dan nilai hartanah yang semakin tinggi.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu isu berhubung penternakan babi di negeri itu ditamatkan sepenuhnya bagi mengelakkan keresahan masyarakat serta memastikan keharmonian rakyat terus terpelihara.

Must Watch Video