SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mempergiat usaha mempelbagaikan sumber tenaga sebagai langkah jangka panjang bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api tradisional, sekali gus memperkukuh daya tahan ekonomi negeri dalam menghadapi cabaran global.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pendekatan itu melibatkan penerokaan teknologi tenaga baharu termasuk solar, hidrogen dan Waste‑to‑Energy (WTE) bagi memastikan kelangsungan operasi negeri serta kestabilan sektor industri utama.
Advertisement
Beliau berkata, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan ialah perluasan penggunaan tenaga solar bersama teknologi bateri di bangunan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pejabat daerah.
“Dalam tempoh terdekat, kita juga akan meluncurkan loji Waste-to-Energy di Jeram dan Tanjung 12 agar pengurusan sisa pepejal dapat menjana tenaga, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sampah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Khamis.
Menurut Amirudin, kedua-dua loji WTE itu dijangka mula beroperasi seawal Jun, sekali gus menjadi sumber tenaga baharu selain meningkatkan kecekapan pengurusan sisa.
Dalam masa sama, kerajaan negeri turut menyiapkan loji hidrogen mini berkapasiti 5.1 megawatt (MW) di Kerling, Kuala Selangor, yang berupaya membekalkan tenaga kepada hampir 13,000 rumah.
Beliau menegaskan, kepelbagaian campuran tenaga penting bagi memastikan Selangor tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada gas atau arang batu, sebaliknya mempercepatkan penggunaan tenaga alternatif seperti solar, hidrogen dan biodiesel.
“Campuran tenaga di Selangor perlu dipelbagaikan dan dipercepatkan agar negeri lebih bersedia menghadapi sebarang tekanan bekalan tenaga pada masa hadapan,” ujarnya.
Selain itu, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri turut meneroka potensi pembangunan tenaga nuklear sebagai sebahagian perancangan jangka panjang, termasuk pembinaan keupayaan tempatan menerusi kerjasama antarabangsa serta pembangunan bakat dalam kalangan pelajar universiti.
Langkah berkenaan dilihat sebagai pendekatan strategik bagi memastikan sistem tenaga Selangor lebih mampan, stabil dan berdaya tahan sejajar dengan keperluan ekonomi masa depan.