Selangor peruntuk RM10 juta selenggara jalan kritikal

Izham berkata pendekatan berasaskan data itu penting bagi memastikan kaedah penyelenggaraan dan teknologi yang digunakan bersesuaian dengan keadaan tanah setempat, terutama laluan kenderaan berat. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM10 juta setiap tahun bagi melaksanakan Penilaian Keadan Turapan (PCA) dalam usaha menyelenggara jalan raya yang menghadapi struktur tanah kritikal terutama di Jalan Meru, Klang dan Tanjung 12, Kuala Langat.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Datuk Izham Hashim berkata pendekatan berasaskan data itu penting bagi memastikan kaedah penyelenggaraan dan teknologi yang digunakan bersesuaian dengan keadaan tanah setempat, terutama laluan kenderaan berat.
"Terdapat beberapa jalan kritikal dikenal pasti di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan Persekutuan, dengan keutamaan diberikan kepada laluan yang memberi risiko keselamatan kepada pengguna
"Ketika ini kita sedang menangani isu di Jalan Meru, Jalan Iskandar dan Jalan Merbau di mana jalan terpaksa ditutup bagi membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan," katanya selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Bagi Kontrak Panjang (KJP) Penyelenggaraan Jalan Negeri Bagi 2026- 2030 di Stadium Mini JKR di sini pada Isnin.
Izham berkata pergerakan lori dan kenderaan berat di laluan tanah bermasalah menjadi antara faktor mempercepat kerosakan jalan, justeru pendekatan penyelesaian jangka panjang amat diperlukan.
Beliau berkata kerajaan negeri turut menggunakan teknologi Slurry Premix Surfacing (SPS) di beberapa lokasi terpilih, termasuk bagi menangani masalah runtuhan cerun dan jalan mendap.
Selain itu, Izham berkata kerajaan negeri turut berdepan cabaran baharu melibatkan kecurian kabel, khususnya kabel lampu jalan yang semakin berleluasa dan memberi kesan besar terhadap keselamatan serta kos penyelenggaraan infrastruktur.
Beliau berkata kes kecurian kabel menunjukkan peningkatan serius dengan kerugian melebihi RM30 juta yang direkodkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tahun lepas.
Sebagai langkah mitigasi, Izham berkata antara pendekatan sedang dipertimbangkan ialah penggunaan sistem lampu berkuasa solar bagi mengurangkan risiko kecurian, memandangkan kes itu bukan sahaja berlaku di lebuh raya, malah turut melibatkan kawasan terbuka.
Mengenai isu ladang ternakan babi, Izham berkata proses pengosongan akan dilaksanakan secara berperingkat yang dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.
Beliau berkata penternak diberikan tempoh enam bulan bagi menyelesaikan keseluruhan proses termasuk penyembelihan tertakluk kepada pemantauan berterusan oleh pihak veterinar.
Katanya, ternakan yang didapati positif Penyakit Demam Babi Afrika (ASF) juga akan dilupuskan di lokasi, manakala yang disahkan negatif akan dihantar ke fasiliti penyembelihan di Rawang.
"Kita sudah tidak keluarkan lesen baharu sejak tahun lepas dan penternak tidak dibenarkan menambah ternakan baharu sepanjang tempoh pengosongan yang kita jangka selesai suku tahun ketiga tahun ini," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


