SHAH ALAM:Kerajaan Selangor memperuntukkan RM22.47 juta untuk diagihkan kepada 740 sekolah di negeri itu bagi menambah baik tahap infrastruktur masing-masing meliputi penyelenggaraan dewan, pembelian perkakas dan sebagainya.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, dalam kenyataan semalam berkata, peruntukan itu diagihkan sejak 2 Nov lalu dan dijangka selesai pada 15 Dis ini.

"Menerusi agihan di bawah Bantuan Infrastruktur Sekolah Selangor, sebanyak 538 sekolah agama rakyat menerima RM9.1 juta, manakala 101 sekolah jenis kebangsaan Cina mendapat RM6 juta dan sebanyak RM2 juta diberikan kepada empat sekolah menengah persendirian Cina.

"Sebanyak 83 sekolah jenis kebangsaan Tamil pula menerima RM4.36 juta dan 14 sekolah terdiri daripada sekolah mubaligh serta sekolah menengah jenis kebangsaan disalurkan bantuan berjumlah RM1 juta," katanya.

Amirudin turut berharap sumbangan itu akan membantu menyediakan suasana pembelajaran lebih kondusif kepada pelajar di negeri berkenaan selari dengan keutamaan yang signifikan diperuntukkan untuk pendidikan dalam Belanjawan Selangor 2021.

-- BERNAMA