Selangor tawar vaksin Influenza percuma untuk murid B40 di empat daerah kes tinggi

Program pemberian vaksin Influenza secara percuma itu menyasarkan seramai 12,500 murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dengan peruntukan sebanyak RM1 juta. - Gambar hiasan Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor akan melancarkan program pemberian vaksin Influenza secara percuma bermula minggu depan di empat daerah yang mencatatkan kadar jangkitan tertinggi iaitu Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat.
Menurut Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin, program itu menyasarkan seramai 12,500 murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.
Katanya inisiatif itu bagi memastikan kanak-kanak mendapat perlindungan daripada jangkitan Influenza serta mengurangkan risiko penularannya dalam komuniti.
"Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menyarankan agar murid berumur lapan tahun dan ke bawah menerima dua dos vaksin Influenza, kecuali bagi mereka yang telah menerima vaksin berkenaan sebelum ini.
"Langkah itu penting bagi memastikan imunisasi yang optimum terhadap jangkitan dalam kalangan kanak-kanak berisiko tinggi," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Beliau berkata, program tersebut akan dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu program outreach di sekolah serta kaedah walk-in di klinik.
"Bagi kaedah pertama, pasukan outreach akan digerakkan ke sekolah yang mempunyai Pusat Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi memberi vaksin kepada kira-kira 4,720 murid berumur lapan tahun ke bawah daripada golongan B40.
"Setiap murid akan menerima risalah maklumat lengkap dan kod QR untuk pendaftaran melalui aplikasi SELangkah.
"Pelaksanaan ini akan dijalankan dengan kerjasama Selcare Management Sdn Bhd, Jabatan Pendidikan Negeri, JKNS, pentadbiran sekolah dan Pusat Khidmat Masyarakat," ujarnya.
Sementara itu, Jamaliah berkata, bagi murid daripada keluarga B40 yang mempunyai penyakit kronik tetapi tidak bersekolah di PPKI, mereka boleh mendapatkan vaksin secara walk-in di Klinik Selcare atau klinik panel terpilih dengan mendaftar dan mengesahkan status melalui aplikasi SELangkah.
Kerajaan Negeri menegaskan komitmen berterusan dalam menjaga kesejahteraan rakyat, khususnya kanak-kanak dan keluarga berpendapatan rendah.
“Program vaksinasi Influenza ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan keluarga B40, tetapi juga membantu meningkatkan tahap kesihatan dan kehadiran anak-anak ke sekolah,” katanya.
Beliau turut menyeru semua ibu bapa yang layak agar segera mendaftar melalui aplikasi SELangkah bagi melindungi anak-anak daripada jangkitan Influenza.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


