MALAYSIA
Selangor tubuh Majlis Sheikh Maqari, pastikan bacaan al-Quran pada standard tertinggi

Mohammad Fahmi turut meluahkan harapan supaya umat Islam di Selangor dapat mempelajari teknik bacaan al-Quran yang lebih baik menerusi inisiatif penubuhan Majlis Syeikh Maqari. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor meluluskan penubuhan Majlis Syeikh Maqari sebagai sebuah badan berautoriti untuk melatih dan mengembangkan pembacaan al-Quran di negeri itu berasaskan standard bacaan yang tinggi.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata dana awal sebanyak RM302,000 juga telah diluluskan untuk melantik 21 pakar al-Quran bagi menetapkan standard bacaan yang terbaik di Selangor.
Beliau berkata pakar berkenaan bakal melatih keupayaan tenaga pengajar al-Quran supaya memiliki cara pembacaan yang sempurna, alunan bacaan yang baik serta pemahaman yang jelas terhadap Nahu, Balaghah dan sebagainya.
"Majlis Syeikh Maqari ini akan dilaksanakan menerusi Akademi Literasi al-Quran Selangor (ALAS)."Kerajaan Selangor juga telah meluluskan perbelanjaan sebanyak RM1 juta untuk menyokong program-program Talaqqi al-Quran secara berguru menerusi ALAS agar teknik dan standard bacaan yang telah ditetapkan oleh Majlis Syeikh Maqari Negeri Selangor dapat diterapkan kepada pengajar al-Quran di negeri ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohammad Fahmi turut meluahkan harapan supaya umat Islam di Selangor dapat mempelajari teknik bacaan al-Quran yang lebih baik menerusi inisiatif itu sekali gus menjadikan kitab suci berkenaan dapat dihayati dengan sepenuhnya.
Beliau berkata Akademi Turath Selangor juga akan ditubuhkan sebagai suatu usaha untuk menjadikan Selangor bukan sahaja sebagai sebuah negeri maju, tetapi juga sebagai sebuah pusat pengembangan ilmu turath (khazanah keilmuan Islam).
"Hal ini supaya Selangor dapat menjadi pusat pengembangan ilmu turath yang mampu memupuk kefahaman Islam yang lebih menyentuh hati, sederhana, penuh toleransi dan progresif," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami