SHAH ALAM: Kerajaan Selangor merancang untuk menghantar anak-anak di rumah perlindungan anak yatim di negeri ini ke Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) apabila mereka mencapai usia 18 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan negeri Mohd Khairuddin Othman berkata usaha dilakukan bagi membolehkan golongan itu mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk membantu mereka memasuki dunia pekerjaaan.

"Kebanyakan anak-anak ini selepas usia 18 tahun, mereka tidak boleh bekerja dengan stigma keluarga dan masalah kemahiran yang sedia ada," katanya.

Beliau berkata sehubungan itu, kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan pihak Yayasan Islam Darul Ehsan, Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) dan beberapa institusi untuk menjadikan STDC sebagai kesinambungan selepas golongan itu keluar dari rumah perlindungan.

"Kita akan wajibkan mereka pergi (STDC), baru kita lepaskan mereka ke dalam masyarakat," katanya.

Mohd Khairuddin berkata demikian menjawab soalan Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) berkenaan langkah kerajaan negeri untuk menambah peluang pekerjaan kepada golongan belia yang menganggur terutamanya lepasan sekolah yang terdapat di luar bandar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata mengikut data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kawasan luar bandar di negeri itu mempunyai kadar pengangguran yang rendah.

"Sebagai contoh, pada 2021, kadar pengganguran Kuala Langat sebanyak 3.3 peratus, Kuala Selangor (4.3 peratus), Sabak Bernam (3.9 peratus) dan Hulu Selangor 3.3 peratus berbanding kadar pengangguran di Selangor iaitu 4.3 peratus," katanya.

Menurut Mohd Khairuddin, pada tahun lepas, kerajaan negeri berjaya menyediakan sebanyak 3,053 peluang pekerjaan melalui dua program Selangor Mega Job Fair.

"Pada tahun ini, kerajaan negeri akan mengadakan dua lagi program Selangor Mega Job Fair untuk memberi peluang kepada belia di Selangor," katanya.

-- BERNAMA