Skip to main content

Malaysia

"Selepas 17 tahun mendaftar, tahun ini baru saya dapat pergi haji..."

Sumber: Astro AWANI
Bagi Rogayah Mohamed Said, haji bukan sekadar ibadah — ia adalah bukti kesetiaan terhadap niat, cinta yang tidak pernah padam, dan keyakinan bahawa setiap jemputan Allah tiba tepat pada waktunya. - Gambar Astro AWANI

MEKAH: Selepas hampir dua dekad menabung dengan penuh kesabaran, seorang pesara guru dari Melaka Tengah akhirnya menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menunaikan impian seumur hidup — mengerjakan ibadah haji.

Namun, perjalanan suci itu bukan lagi seperti yang dirancang pada awalnya.

Rogayah Mohamed Said memulakan pendaftaran haji bersama suaminya pada 2009, ketika kedua-duanya masih aktif berkhidmat sebagai pendidik. 

Ia bukan sekadar pendaftaran, tetapi tekad yang disulami niat sejak awal.

“Maknanya memang kita dah ada niat untuk menunaikan haji. Jadi kami mula menabung secara bersistematik setiap bulan, melalui potongan gaji,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini.

Tujuh belas tahun berlalu, panggilan haji yang dinanti akhirnya tiba.

Namun, kegembiraan itu hadir bersama luka kehilangan.

Perjalanan yang sepatutnya dilalui berdua, kini terpaksa ditempuh Rogayah seorang diri, selepas suaminya kembali ke rahmatullah sebelum sempat bersama-sama menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

Persiapan penuh makna

Bagi Rogayah, persiapan ke Tanah Suci bukan hanya soal kewangan. Sejak awal, beliau dan arwah suami melengkapkan diri dengan ilmu sebagai bekalan rohani.

“Bila saya bersara, saya dan suami mula ikuti kursus-kursus asas haji,” ujarnya.

Persiapan rapi itu akhirnya menjadi kekuatan apabila tiba saat untuk berangkat — walaupun tidak lagi bersama insan yang paling diharapkan berada di sisi.

“Gembira itu ada, sedih pun ada. Sepatutnya saya pergi berdua… tapi Allah lebih sayangkan suami saya,” katanya perlahan.

Kenangan yang kembali hidup

Rogayah bukan asing dengan Tanah Suci. Sebelum ini, beliau pernah mengerjakan umrah bersama arwah suami. Justeru, perjalanan haji kali ini menghidupkan kembali kenangan yang tersimpan rapi - setiap langkah seakan mengulang cerita lama.

“Macam pergi Masjid Quba… saya rasa seperti pergi bersama dia. Di Masjid Qiblatain pun sama. Kami pernah solat di situ waktu umrah dulu. Jadi bila pergi semula sekarang, kenangan itu datang semula,” ceritanya.

Kenangan manis itu meruntun jiwa, namun juga menjadi sumber kekuatan - seolah-olah kehadiran arwah suami masih setia menemani.

Walaupun tanpa ahli keluarga terdekat di sisi, Rogayah menegaskan dirinya tidak pernah benar-benar bersendirian. 

Hubungan yang terjalin bersama rakan-rakan sebilik di maktab menjadi pengubat rasa dan sumber kegembiraan baharu.

Pesanan untuk generasi muda

Darah seorang pendidik masih kuat mengalir dalam diri Rogayah. 

Dengan nada penuh keibuan, beliau menitipkan pesan buat golongan muda yang menyimpan impian sama.

“Pada umat Islam yang ada impian menunaikan haji, mulalah menabung dari awal.
Sekarang kesedaran itu dah ada. Ada anak baru lahir pun, ibu bapanya dah mula menabung.”

Beliau sendiri menjadi saksi bahawa pendaftaran awal membuka peluang lebih luas.

“Saya daftar 17 tahun dulu baru dapat panggilan. Saya tengok juga ada yang anak lahir, terus daftar — umur 17 tahun dah dapat panggilan,” katanya sambil tersenyum.

Mengulas polemik di media sosial mengenai jemaah muda, Rogayah tampil dengan pandangan yang menenangkan.

“Jangan pertikai jemputan Allah kepada sesiapa pun. Selagi ikut saluran betul dan sampai gilirannya, tak perlu kita persoalkan,” tegasnya.

Bagi Rogayah, kunci kepada impian besar terletak pada kesungguhan melakukan perkara kecil secara konsisten.

“Menabunglah. Bila niat dah ada, usaha itu mesti berterusan. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit,” katanya.

Satu perjalanan, satu kehilangan, namun sarat dengan makna.

Bagi Rogayah Mohamed Said, haji bukan sekadar ibadah — ia adalah bukti kesetiaan terhadap niat, cinta yang tidak pernah padam, dan keyakinan bahawa setiap jemputan Allah tiba tepat pada waktunya.

Must Watch Video